Tuesday 6 January 2015

Kes Penculikan

Malam semakin gelap seperti kopi pekat. Sinar rembulan yang dilindungi oleh dedaunan dan pohon gagal menyinari jalan yang menuju ke rumah saya. Disebabkan cahaya bulan yang samar dan ditambahkan pula tiada cahaya neon di tepi jalan telah mendorong saya untuk mempercepatkan langkah saya untuk balik ke rumah secepat mungkin. Dalam perjalanan, saya melalui sebuah rumah kosong di tepi jalan. Di sekeliling kawasan rumah kosong tersebut amat sunyi dan adakalanya menyeramkan. Lebih-lebih lagi di sebelah rumah kosong itu, terdapat sebatang pokok yang usang dan tidak berdaun. Tiba-tiba, saya teringat akan cerita orang kampung tentang kisah seorang perempuan mengandung yang mati bunuh diri di pokok itu. Namun demikian, disebabkan tiada pilihan lain, saya terpaksa juga menggunakan jalan tersebut untuk pulang ke rumah. Pada masa itu jam tangan saya menunjukkan 9.30 malam.

Semasa sedang berjalan, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti seorang budak yang menangis dengan teresak-esak. Saya berasa seram dan mula berpeluh kesejukan. Saya ingatkan bunyi hantu yang sering saya dengar sewaktu menonton wayang hantu. Namun, saya berasa keliru kerana selepas mengamati suara itu betul-betul, suara itu seolah-olah datang dari rumah kosong tersebut. Antara perasaan takut dan ingin tahu, saya berusaha untuk menggahi ke rumah itu. Walaupun hati saya berdebar-debar dengan kuat, saya mulai tenang sedikit kerana mengetahui suara itu bukan bunyi hantu, tetapi bunyi seorang budak perempuan sedang menangis. Apabila saya semakin mendekati rumah kosong itu, langkah saya semakin perlahan kerana risau akan diketahui orang lain.

Ketika saya sampai di rumah kosong itu, tiba-tiba semangat saya seperti seekor tikus. Saya berasa seolah-olah diri amat kecil dan hampir-hampir berniat untuk meninggalkan tempat ini dan ingin pulang ke rumah secepat mungkin. Saya akan lebih selamat jika di rumah yang penuh dengan kasih sayang ibu bapa. Namun, saya bertekad kembali untuk membantah niat yang mementingkan diri itu. Mungkin orang di dalam rumah kosong itu memerlukan bantuan saya. Oleh itu, saya lekas mencari ruang untuk melihat keadaan di dalam rumah tersebut. Nasib saya baik kerana dapat mencari lubang di belakang rumah itu. Semasa saya mengintai ke dalam rumah tersebut, alangkah terkejutnya saya apabila melihat seorang budak perempuan diikat tangan dan kakinya. Pakaiannya kotor dan mukanya comot. Berhampiran dengan budak perempuan itu terdapat dua orang lelaki dewasa yang berwajah garang dan bengis. Salah seorang daripada mereka sedang berbual akan sesuatu ke dalam telefon bimbit. Saya pun cuba mencuri-curi dengar. Barulah saya ketahui bahawa budak itu telah diculik oleh kedua-dua lelaki itu manakala keluarganya telah diugut dengan sejumlah wang tebusan yang banyak.

Tanpa membuang masa, saya beredar dari situ dengan perlahan-lahan. Ketika sudah tiba di tempat yang jauh sedikit, saya menggunakan telefon bimbit yang dibawa untuk menghubungi pihak polis dan melaporkan kejadian itu. Pihak polis meminta saya memerhatikan gerak-geri penculik-penculik itu dan juga berhati-hati sewaktu menunggu bantuan daripada pihak polis. Sementara menunggu, saya memerhatikan keadaan di dalam rumah itu. Cuma ada api lilin lebih kurang 4 batang sahaja yang menyuluhi rumah kosong itu.

Tidak lama kemudian, saya terdengar siren polis yang memecah keheningan malam itu. Apabila menoleh ke belakang, saya terlihat kira-kira 5 buah kereta telah tiba. Dalam masa yang singkat, pihak polis telah mengepung kawasan rumah itu. Tiba-tiba, saya ternampak penculik-penculik sedang cuba melarikan diri dengan keluar dari belakang rumah. Dengan segera saya menjerit sekuat-kuat hati untuk memberitahu pihak polis tentang keadaan itu. Beberapa orang polis lekas mengejar kedua-dua orang penculik itu. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Akhirnya, penculik-penculik itu berjaya diberkas. Budak perempuan itu terselamat daripada sebarang bahaya. Tidak lama kemudian, pihak polis telah menghubungi ibu bapa budak perempuan tersebut. Pihak polis juga amat menghargai pertolongan saya. Apabila ibu bapa budak itu sampai, mereka berlari ke arah budak perempuan itu dan berpeluk-pelukan dengannya. Keadaan itu membawa kegembiraan kepada saya yang meluap-luap dan kesyukuran sehinggakan saya menangis. Mereka mengucapkan terima kasih kepada saya dengan air mata yang bercucuran.

Saya berasa bangga kerana tindakan saya yang berani ini telah berjaya menyelamatkan kebahagiaan mereka sekeluarga. Saya juga bersyukur kerana tidak cepat berputus asa semasa berasa takut dan tidak mempraktikkan amalan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mark Twain pernah berkata "Sentiasalah melakukan yang betul kerana akan menggembirakan sebahagian orang dan mengagumkan yang selebihnya." Peristiwa ini telah menyerapkan nilai berani dan prihatin ke dalam sanubari saya untuk berjasa kepada masyarakat dan negara.


Student KoolAid
xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

3 comments: