Thursday 15 January 2015

Usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat di Malaysia

Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan iktisad (ekonomi)negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun begitu,  isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam kalangan marhaen(golongan bawahan) di Malaysia.  Dewasa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari segi konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan.Menurut Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari. Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.

            Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan teladan  yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi.  Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke  arah kemajuan  negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

                Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu. 

            Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong.  Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong adalah seperti  membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

            Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawaberat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita.

            Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal.  Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat kejiranan  bermula daripada sekarang.  Cogan kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.



xx


Anda mungkin meminati juga:


Tuesday 13 January 2015

Rakan Sebaya: Kawan atau lawan

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, rakan sebaya ialah sahabat yang sama umurnya dan berasal daripada lingkungan latar belakang yang sama serta suka meluangkan masa dalam melakukan aktiviti mereka. Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan pelajar di sekolah. Ada yang membentuk sahsiah positif dalam diri pelajar, ada juga yang akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Terdapat segelintir ibu bapa yang berpendapat bahawa rakan sebaya hanya menghancurkan kejayaan anak mereka dalam kehidupan. Pendapat ini tidak benar sepenuhnya. Persoalannya sama ada rakan sebaya kawan atau lawan kita.

Rakan sebaya mengambil alih tanggungjawab ibu bapa kita ketika di luar rumah. Tanpa rakan sebaya, bosanlah kehidupan kita. Maka, rakan sebaya yang bernilai murni dan berpengaruh baik akan memberikan kesan yang baik terhadap rakan yang lain. Bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sahabat sebegini mementingkan pelajarannya dan akan mendorong kita supaya berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan.

Selain itu, rakan sebaya yang baik akan menolong kita tatkala menghadapi cabaran dan pancaroba dalam kehidupan. Mereka sudi menghulurkan bantuan kepada kita dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Rakan sebaya merupakan benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental ataupun dari segi fizikal. Kita dapat mencurahkan perasaan dan emosi kita kepada mereka. Mereka menjadi tempat  rujukan kita kerana merupakan orang yang amat rapat dengan kita. George Washington pernah mengungkapkan "Kawan yang sejati dapat diibaratkan sebagai suatu tanaman yang lambah tumbuhnya dan harus bertahan menghadapi pukulan-pukulan nasib malang, sebelum berhak disebut sahabat sejati."Rakan sebaya bertanggungjawab untuk membimbing kita supaya tidak terjerumus ke dalam lembah kejahatan. Mereka akan menasihati kita agar menghargai masa dengan melakukan aktiviti yang kurang memanfaatkan seperti vandalisme, gengsterisme dan lain-lain.

Namun demikian, rakan sebaya yang bersikap negatif diibaratkan sebagai api yang boleh membinasakan kehidupan remaja. Bukan semua rakan sebaya akan memberikan pengaruh yang baik kepada kita. Tahap disiplin di institusi sekolah semakin merosot kerana peraturan sering dicabar oleh pelajar yang tidak mematuhinya. Pelajar dicabar oleh rakan sebaya untuk menconteng dinding sekolah dan merosakkan harta benda sekolah. La Rouchefoucauld pernah mengungkapkan "Keinginan paling besar kadang-kadang mempunyai komanya tetapi sifat bermegah mengganggu kita tanpa noktahnya." Natijahnya, pelajar itu mengalami keruntuhan akhlak dan masa hadapan mereka gelap.

Ada juga rakan sebaya yang bakatnya tidak terserlah dalam bidang akademik, maka berminat terhadap bidang lain. Misalnya, kesenian atau sukan. Kita sebagai kawan patut mencungkil bakat dan potensi mereka, bukannya memandang rendah dan mengindirkan mereka.

Secara tuntasnya, rakan sebaya memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan arah kehidupan seseorang. Pakar psikologi Barat, Carl Roger, berkata bahawa terdapat beberapa anjakan paradigma yang ketara dalam kalangan remaja yang memiliki rakan sebaya dari segi pemikiran, emosi dan fizikal. Ingatlah bahawa mencari rakan ibarat mencari permata di dalam timbunan kaca.



Student KoolAid
xx

Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Sunday 11 January 2015

Langkah-langkah mengatasi masalah peningkatan kemalangan jalan raya di negara kita

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama akhbar - akhbar di Malaysia. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Hal ini disebabkan anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan perasaan bagai digamit rindu sehingga mengabaikan kepentingan peraturan di jalan raya. Senario yag menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, marilah kita mengkaji langkah-langkah pragmatik yang perlu diimplimentasikan bagi mengatasi masalah ini.

Antara kaedah menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya di negara kita termasuklah peranan kerajaan. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dan hukuman mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan jalan raya. Peraturan jalan raya seharusnya dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Aman, kes kemalangan melibatkan bas ekspres menurun dengan rancaknya sebanyak 15.7% peratus dari tahun 2007 ke 2008 selepas undang-undang tersebut dilaksanakan. Hal ini menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-undang, kadar kemalangan dapat diminimumkan.

Selain itu, pihak polis trafik turut berusaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak polis sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutamanya sempena sambutan hari raya. Misalnya, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, "Operasi Ops Sikap" dilancarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Langkah ini dilaksanakan untuk mengawal berlakunya kemalangan jalan raya ketika sambutan perayaan ini. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengawal jumlah kemalangan jalan raya yang tercatat sepanjang musim perayaan. Tindakan ini menunjukkan usaha kerajaan yang berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen dari bangku sekolah lagi. Pendedahan awal kepada kanak-kanak amat vital kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program "Keselamatan Lalu Lintas dan Jalan Raya" yang dianjurkan saban tahun. Maka, anak murid akan didedahkan kepada kepentingan mematuhi peraturan jalan raya dan membesar menjadi individu yang rasional dan prihatin terhadap keselamatan jalan raya. Sudah terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut berupaya menurunkan kadar kemalangan.

Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Mereka telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pengguna jalan raya. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai polis trafik, saman akan dihantar kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya di Lebuh Raya Utara-Selatan. Bak kata pepatah, harimau ditakuti sebab giginya. Jelaslah bahawa usaha ini akan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Kesemua di atas merupakan antara langkah mengatasi masalah peningkatan kemalangan jalan raya di negara kita. Pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada ketika hendak memulakan perjalanan dan memandu kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat mengimplimentasikan kewajipan masing-masing, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat dan pihak berkuasa haruslah menggembleng tenaga dan berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat ditangani dengan berkesan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Dengan ini, diharapkan agar masyarakat di Malaysia dapat hidup sejahtera tanpa dibelenggu oleh masalah keselamatan jalan raya. Maka, aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 dapat digapai dan digenggam erat. 



xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Friday 9 January 2015

Faktor-faktor yang mempengaruhi remaja merokok dan usaha-usaha menghentikan tabiat tersebut

Menteri Kesihatan negara kita berkata semasa Pelancaran Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2007, bahawa 650 juta orang diramal mati akibat rokok bebrapa tahun lagi di dunia. Selain itu, beliau turut mengesahkan rokok penyebab kedua kematian tertinggi di dunia. Belakangan ini, banyak remaja sudah mula merokok. Fenomena merokok dalam kalangan remaja semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang kritikal seperti tiada titik noktahnya. Buktinya, Dr Maizurah Omar, Penyiasat Penilaian Dasar Kawalan Tembakau Antarabangsa telah membuat rumusan berdasarkan kajian terhadap remaja bawah 16 tahun. Daripada seribu responden, 14.7% remaja merokok, 15% cenderung merokok pada masa depan dan 90.6% akan merokok jika diberi rokok. Senario menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan. Lantas, sebelum nasi sudah menjadi bubur, marilah kita mengkaji faktor yang mempengaruhi remaja merokok termasuklah usaha yang giat dilaksanakan untuk menangani isu ini.

Antara faktor yang mempengaruhi remaja merokok termasuklah masalah institusi keluarga. Keluarga merupakan benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental mahupun dari segi fizikal. Keluarga melindungi kita daripada dugaan dan pancaroba di dunia luar. Maka, ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang sepenuhnya bak menatang minyak yang penuh terhadap anak mereka. Namun, sekiranya ibu bapa leka mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembentuk keperibadian dan sahsiah anak, mereka akan mengalami keruntuhan akhlak lalu melibatkan diri dalam kancah negatif seperti merokok. Jelaslah bahawa institusi keluarga yang kurang sempurna merupakan antara punca dominan yang mempengaruhi remaja merokok.

Selain itu, faktor remaja merokok juga disebabkan pengaruh rakan sebaya. Dalam institusi persekolahan, naluri ingin tahu membara dalam diri sanubari remaja dan keinginan yang meluap-luap untuk merasai pengalaman merokok. Perasaan ingin mencuba ini menjadi lebih serius tatkala remaja dicabar oleh rakan sebaya supaya diterima dalam kumpulan mereka. La Rouchefoucauld pernah mengungkapkan "Keinginan paling besar kadang-kadang mempunyai komanya tetapi sifat bermegah mengganggu kita tanpa noktahnya." Natijahnya, remaja terjerumus ke dalam lembah kejahatan dan menjejaskan kehidupan mereka dengan tabiat merokok. Keputusan akademik akan terjejas dan masa hadapan mereka menjadi gelap. Jelaslah bahawa pengaruh rakan sebaya yang negatif menyumbang kepada peningkatan kadar remaja merokok saban tahun.

Seperkara lagi, kelonggaran penguatkuasaan undang-undang juga merupakan antara faktor yang mendorong remaja merokok. Kini, rokok yang dijual di mana-mana kedai menyebabkan rokok mudah dibeli dengan sewenang-wenangnya walaupun harga rokok telah dinaikkan Berdasarkan soal jawab yang dilaksanakan, 66.7% remaja mudah mendapat rokok walaupun wujud larangannya. Ini menunjukkan penguatkuasaan undang-undang tentang perjualan rokok tidak berkesan. Contohnya, undang-undang menetapkan bahawa peruncit yang didapati bersalah menjual rokok kepada pengguna yang berusia 18 tahun ke bawah boleh dikenakan hukuman. Maka, pelajar yang ditangkap merokok, membeli atau memiliki rokok boleh didenda sehingga RM 1000. Bak kata pepatah, harimau ditakuti sebab giginya. Sekalipun begitu tindakan ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan.

Untuk menangani isu ini, pelbagai usaha harus diimplimentasikan. Bermula dari institusi keluarga, ibu bapa berperanan penting sebagai entiti mithali dalam menyemai nilai murni ke dalam sanubari anak mereka sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka juga patut meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama anak mereka seperti berkelah, bersiar-siar di taman dan sebagainya. Maka, remaja tidak akan kehausan kasih sayang dan membesar menjadi individu yang berkualiti dan bersahsiah positif. Remaja sebegini pastinya akan menjauhkan diri daripada gejala negatif seperti merokok untuk menjaga maruah diri serta imej keluarganya. Terbuktinya kepentingan peranan ibu bapa dalam menangani isu merokok dalam kalangan remaja.

Selain itu, institusi persekolahan juga memainkan peranan yang signifikan dalam menghentikan tabiat merokok dalam kalangan muda. Pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan perlu diberikan tekanan sejak bangku sekolah lagi. Barisan pendidik patut mendedahkan keburukan merokok kepada anak murid dan menyemai nilai murni yang baik dalam jiwa mereka. Pihak sekolah pula boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang menyebarkan mesej yang betul seperti pertandingan melukis poster PPDA, pertandingan mendeklamasikan sajak bertemakan Anti-Dadah dan lain-lain. Usaha ini harus dilaksanakan berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jelaslah bahawa masalah merokok dalam kalangan remaja perlu dibanteras dari akar umbi.

Usaha yang lain ialah peranan media massa. Pelancaran pelbagai kempen oleh pihak kerajaan patut disebarkan melalui media massa seperti radio, televisyen dan sebagainya.  Dengan kaedah ini, rakyat Malaysia didedahkan kepada pelbagai maklumat tentang kemudaratan tabiat merokok. Kerajaan juga melancarkan program berkaitan keburukan merokok untuk kanak-kanak dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Misalnya, Kempen "Tak Nak Merokok" yang dilancarkan saban tahun. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Terbuktilah bahawa usaha ini perlu giat dilancarkan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan muda dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

Tuntasnya, rokok merupakan musuh utama manusia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk menangani gejala ini dan mengelakkannya daripada menular dalam masyarakat kita. Maka, remaja perlu menjaga maruah diri juga dengan menjauhkan diri daripada tabiat merokok. Imam al-Bukhari pernah mengungkapkan "Jika kamu ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang." Remaja yang berkualiti merupakan aset negara yang berharga. Ralph Waldo Emerson pula berkata "Kesihatan ialah gambaran kebijaksanaan dan petunjuk pada kegembiraan". Demi kesihatan kita, demi masa hadapan kita, katakan "Tidak" terhadap rokok.



Student KoolAid
xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Thursday 8 January 2015

Remaja sering terlibat dengan gejala sosial. Bincangkan punca.

Pada zaman pascakemerdekaan ini, isu gejala sosial dalam kalangan remaja semakin berleluasa dan menjadi fokus perbincangan serta tajuk utama akhbar-akhbar di Malaysia. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes gejala sosial seperti kes buang bayi, pergaulan seks bebas, mat rempit dan sebagainya terus meningkat saban tahun tanpa titik noktahnya. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan. Lantas, sebelum nasi sudah menjadi bubur, marilah kita mengkaji punca berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja untuk menangani masalah ini dengan efisien.

Antara punca gejala sosial termasuklah masalah institusi keluarga. Keluarga merupakan benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental mahupun dari segi fizikal. Kita dilindungi daripada masalah dan pancaroba di dunia luar. Maka, ibu bapa berperanan penting sebagai entiti mithali untuk menyerap nilai murni ke dalam sanubari anak. Namun, sekiranya ibu bapa leka mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pembentuk keperibadian dan sahsiah remaja, mereka akan kehausan kasih sayang ibu bapa dan berasa tersisih. Maka, mereka akan terdorong untuk terjebak dalam kancah negatif seperti vandalisme, gengsterisme dan lain-lain. Sudah terang lagi bersuluh, kebanyakan remaja yang terjebak dalam gejala sosial datang daripada institusi keluarga yang kurang sempurna.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyumbang ke arah gejala sosial. Rakan sebaya mengambil alih tanggungjawab ibu bapa kita semasa di luar. Rakan yang berpengaruh positif mampu membentuk sahsiah yang mahmudah dalam diri remaja. Namun, rakan yang bersikap negatif akan mengundang kemudaratan kepada kehidupan kita seperti api yang mampu membinasakan kehidupan. Rakan sebegini mencabarkan remaja untuk melanggar peraturan sekolah dan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam lembah kemudaratan. La Rouchefoucauld pernah mengungkapkan "Keinginan paling besar kadang-kala mempunyai komanya, tetapi sifat bermegah mengganggu kita tanpa titik noktahnya". Lantas, remaja itu akan mengalami keruntuhan akhlak dan mempunyai masa hadapan yang gelap kerana telah dicemarkan dengan niat yang salah.

Seterusnya, pengaruh media massa turut mengundang isu sosial dalam kalangan remaja. Dalam menempuh era globalisasi yang sarat dengan alat teknologi yang semakin berkembang dengan pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan, remaja telah dipengaruhi oleh media massa cetak dan elektronik. Terdapat segelintir remaja yang kurang berfikiran matang menyalahgunakan internet dan dipengaruhi oleh paparan laman web yang kurang sihat. Misalnya, aksi-aksi keganasan, kelucahan dan sebagainya. Remaja dipengaruhi oleh budaya hegemoni Barat yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata. Akhirnya, remaja akan melakukan gejala sosial seperti pergaulan seks bebas, berlari dari rumah, menagih dadah dan lain-lain. Bak kata pepatah, nila setitik rosak susu sebelanga. Natijahnya, masyarakat kita turut dianggap berminda kelas ketiga dan tidak aman. Terbuktilah bahawa pengaruh media massa mampu mendatangkan penularan budaya negatif dalam generasi muda kini.

Punca dominan lain ialah tekanan di sekolah. Tatkala remaja diberikan terlalu banyak kerja rumah atau tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan, mereka akan mencari kaedah untuk melepaskan kemarahan dan tekanan mereka. Misalnya, menghisap dadah, ponteng sekolah, melakukan vandalisme dan lain-lain. Mereka akan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan asyik menggunakan jalan belakang untuk menyelesaikan masalah di sekolah. Jelaslah bahawa gejala sosial turut berpunca daripada tekanan emosi dan minda dalam institusi persekolahan.

Tuntasnya, remaja ibarat pahlawan kerdil tetapi penuh keberanian. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk menangani masalah gejala sosial yang mencengkam dan membelenggu masyarakat. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekiranya setiap lapisan masyarakat dapat melestarikan kewajipan masing-masing, pastilah kita dapat membina golongan remaja yang berwawasan dan bakal menjadi modal insan negara. Imam Al-Bukhari pernah mengungkapkan "Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang." Bersama-sama kita membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja untuk mewujudkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Maka, negara kita akan mencapai aspirasi Wawasan 2020 sebagai negara yang disanjungi di persada antarabangsa.



Student KoolAid
xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Tuesday 6 January 2015

Kes Penculikan

Malam semakin gelap seperti kopi pekat. Sinar rembulan yang dilindungi oleh dedaunan dan pohon gagal menyinari jalan yang menuju ke rumah saya. Disebabkan cahaya bulan yang samar dan ditambahkan pula tiada cahaya neon di tepi jalan telah mendorong saya untuk mempercepatkan langkah saya untuk balik ke rumah secepat mungkin. Dalam perjalanan, saya melalui sebuah rumah kosong di tepi jalan. Di sekeliling kawasan rumah kosong tersebut amat sunyi dan adakalanya menyeramkan. Lebih-lebih lagi di sebelah rumah kosong itu, terdapat sebatang pokok yang usang dan tidak berdaun. Tiba-tiba, saya teringat akan cerita orang kampung tentang kisah seorang perempuan mengandung yang mati bunuh diri di pokok itu. Namun demikian, disebabkan tiada pilihan lain, saya terpaksa juga menggunakan jalan tersebut untuk pulang ke rumah. Pada masa itu jam tangan saya menunjukkan 9.30 malam.

Semasa sedang berjalan, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti seorang budak yang menangis dengan teresak-esak. Saya berasa seram dan mula berpeluh kesejukan. Saya ingatkan bunyi hantu yang sering saya dengar sewaktu menonton wayang hantu. Namun, saya berasa keliru kerana selepas mengamati suara itu betul-betul, suara itu seolah-olah datang dari rumah kosong tersebut. Antara perasaan takut dan ingin tahu, saya berusaha untuk menggahi ke rumah itu. Walaupun hati saya berdebar-debar dengan kuat, saya mulai tenang sedikit kerana mengetahui suara itu bukan bunyi hantu, tetapi bunyi seorang budak perempuan sedang menangis. Apabila saya semakin mendekati rumah kosong itu, langkah saya semakin perlahan kerana risau akan diketahui orang lain.

Ketika saya sampai di rumah kosong itu, tiba-tiba semangat saya seperti seekor tikus. Saya berasa seolah-olah diri amat kecil dan hampir-hampir berniat untuk meninggalkan tempat ini dan ingin pulang ke rumah secepat mungkin. Saya akan lebih selamat jika di rumah yang penuh dengan kasih sayang ibu bapa. Namun, saya bertekad kembali untuk membantah niat yang mementingkan diri itu. Mungkin orang di dalam rumah kosong itu memerlukan bantuan saya. Oleh itu, saya lekas mencari ruang untuk melihat keadaan di dalam rumah tersebut. Nasib saya baik kerana dapat mencari lubang di belakang rumah itu. Semasa saya mengintai ke dalam rumah tersebut, alangkah terkejutnya saya apabila melihat seorang budak perempuan diikat tangan dan kakinya. Pakaiannya kotor dan mukanya comot. Berhampiran dengan budak perempuan itu terdapat dua orang lelaki dewasa yang berwajah garang dan bengis. Salah seorang daripada mereka sedang berbual akan sesuatu ke dalam telefon bimbit. Saya pun cuba mencuri-curi dengar. Barulah saya ketahui bahawa budak itu telah diculik oleh kedua-dua lelaki itu manakala keluarganya telah diugut dengan sejumlah wang tebusan yang banyak.

Tanpa membuang masa, saya beredar dari situ dengan perlahan-lahan. Ketika sudah tiba di tempat yang jauh sedikit, saya menggunakan telefon bimbit yang dibawa untuk menghubungi pihak polis dan melaporkan kejadian itu. Pihak polis meminta saya memerhatikan gerak-geri penculik-penculik itu dan juga berhati-hati sewaktu menunggu bantuan daripada pihak polis. Sementara menunggu, saya memerhatikan keadaan di dalam rumah itu. Cuma ada api lilin lebih kurang 4 batang sahaja yang menyuluhi rumah kosong itu.

Tidak lama kemudian, saya terdengar siren polis yang memecah keheningan malam itu. Apabila menoleh ke belakang, saya terlihat kira-kira 5 buah kereta telah tiba. Dalam masa yang singkat, pihak polis telah mengepung kawasan rumah itu. Tiba-tiba, saya ternampak penculik-penculik sedang cuba melarikan diri dengan keluar dari belakang rumah. Dengan segera saya menjerit sekuat-kuat hati untuk memberitahu pihak polis tentang keadaan itu. Beberapa orang polis lekas mengejar kedua-dua orang penculik itu. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Akhirnya, penculik-penculik itu berjaya diberkas. Budak perempuan itu terselamat daripada sebarang bahaya. Tidak lama kemudian, pihak polis telah menghubungi ibu bapa budak perempuan tersebut. Pihak polis juga amat menghargai pertolongan saya. Apabila ibu bapa budak itu sampai, mereka berlari ke arah budak perempuan itu dan berpeluk-pelukan dengannya. Keadaan itu membawa kegembiraan kepada saya yang meluap-luap dan kesyukuran sehinggakan saya menangis. Mereka mengucapkan terima kasih kepada saya dengan air mata yang bercucuran.

Saya berasa bangga kerana tindakan saya yang berani ini telah berjaya menyelamatkan kebahagiaan mereka sekeluarga. Saya juga bersyukur kerana tidak cepat berputus asa semasa berasa takut dan tidak mempraktikkan amalan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mark Twain pernah berkata "Sentiasalah melakukan yang betul kerana akan menggembirakan sebahagian orang dan mengagumkan yang selebihnya." Peristiwa ini telah menyerapkan nilai berani dan prihatin ke dalam sanubari saya untuk berjasa kepada masyarakat dan negara.


Student KoolAid
xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Cara-cara mempererat hubungan kekeluargaan

Keluarga ialah institusi yang terdiri daripada bapa, ibu, anak-anak, saudara-mara dan sebagainya. Institusi keluarga merupakan benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental mahupun dari segi fizikal. Keluarga yang sempurna mampu melindungi kita daripada pelbagai dugaan dan pancaroba di dunia luar. Ungkapan slogan "Rumahku, syurgaku" memanifestasikan kepentingan keluarga kepada kita yang banyak tidak terperi. Setiap ahli keluarga perlu menonjolkan nilai toleransi, saling menghormati, kejujuran dan kasih sayang dalam tingkah laku mereka. Maka, hubungan yang erat bagai isu dengan kuku dalam institusi keluarga dapat mengelakkan anak-anak daripada terjebak dalam gejala sosial yang hanya mementingkan dunia hedonistik semata-mata. Lantas, marilah kita bincangkan usaha-usaha pragmatik yang perlu diimplimentasikan untuk mempererat hubungan kekeluargaan supaya mampu mewujudkan keluarga yang bahagia dan sejahtera.

Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam mewujudkan hubungan erat dalam keluarga. Mereka merupakan entiti mithali dan patut mencurahkan kasih sayang terhadap anak bak menatang minyak yang penuh. Maka, mereka patut mementingkan anak melebihi urusan kerjaya mereka dan tidak rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan dan mengabaikan tanggungjawab mereka dalam membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapa juga haruslah mengajar anak-anak untuk membezakan yang mana intan, yang mana permata sejak kecil kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa juga mestilah memantau pencapaian akademik dan mengawasi perlakuan anak-anak untuk mengelakkan anak-anak daripada terjebak dalam kancah negatif. Maka, mereka perlu mengajar anak agar tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Lantas, anak-anak tidak akan berasa seolah-olah diri kehausan kasih sayang ibu bapa, malah juga menjaga tingkah laku mereka agar tidak menjejaskan imej keluarga.

Selain itu, kita wajarlah berusaha mewujudkan iklim yang kondusif dalam rumah tangga untuk mempererat hubungan kekeluargaan. Ahli keluarga perlu prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain seperti mana yang diungkapkan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kita perlu saling membantu bak aur dengan tebing. Kita juga perlu sudi mendengar masalah ahli keluarga dan cuba sedaya upaya untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut. Yang paling penting, ahli keluarga patut mengelakkan pencetusan pergaduhan dan pertelingkahan demi keharmonian keluarga dan tidak mempraktikkan amalan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Lantas, suasana yang harmoni dan aman dalam keluarga dapat dibina dan semua ahli keluarga berani menempuh belantara kehidupan tanpa terpesong ke arah kemudaratan.

Usaha seterusnya adalah mengadakan aktiviti kekeluargaan dari semasa ke semasa. Aktiviti kekeluargaan vital kerana dapat mewujudkan suasana yang bahagia sesama ahli keluarga dan juga mengeratkan ikatan silaturahim bak isi dengan kuku. Misalnya, ibu bapa boleh meluangkan masa pada hujung minggu untuk membawa anak-anak pergi berkelah di tepi pantai, ataupun juga mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan rumah. Secara tidak langsung, anak-anak akan dipengaruhi untuk giat melibatkan diri dalam aktiviti sebegini yang berfaedah dan bukan leka menghabiskan masa melayari internet dalam rumah dan kancah negatif yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti kekeluargaan mampu memberikan impak yang positif dalam mempererat hubungan kekeluargaan.

Seperkara lagi, kita juga patut menggalakkan ahli keluarga supaya menganuti ajaran agama kerana semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Dalam konteks ini, ibu bapa berperanan untuk mewajibkan agar semua ahli keluarga tidak meninggalkan sembahyang dan mengamalkan sikap bersopan-santun dan peramah terhadap orang lain. Menurut Dato' Fadzilah Kamsah, ibu bapa perlu menggalas kewajipan dalam usaha memberikan didikan agama dan moral yang secukupnya. Seseorang yang tidak menganuti ajaran agama boleh diibaratkan sebagai kapal tanpa nakhoda.

Tuntasnya, keseluruhan di atas merupakan antara usaha yang wajib diimplimentasikan untuk membina institusi keluarga yang mulia. Institusi keluarga diibaratkan sebagai sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Jika semua ahli keluarga melestarikan tanggungjawab masing-masing, hubungan kekeluargaan yang erat dapat terjalin. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Akhir kata, institusi keluarga amat signifikan dalam membina masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang, seperti mana yang diungkapkan oleh mantan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ahmad Badawi.



Student KoolAid
xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Monday 5 January 2015

Punca-punca kemalangan jalan raya semakin meningkat di negara kita

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama akhbar - akhbar di Malaysia. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Hal ini disebabkan anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan perasaan bagai digamit rindu sehingga mengabaikan kepentingan peraturan di jalan raya. Senario yag menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, marilah kita mengkaji punca yang menyebabkan berlakunya agar dapat menangani masalah ini dengan efisien. 

Antara punca utama kemalangan termasuklah kecuaian pemandu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk. Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. Selain itu, pemandu sering menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Penggunaan Global Positioning System GPS dalam kenderaan juga boleh mengundang maut. Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. Misalnya, satu nahas jalan raya di Kota Bharu. Usia baru setampuk pinang, tiga sekawan maut di tempat kejadian apabila merempuh kenderaan lain dan dipercayai telah memandu kereta dengan laju. Kebanyakan pemandu mahupun penunggang motosikal yang bersifat delinkuen gemar memandu melebihi had laju. Sifat ini dikaitkan dengan kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Selain itu, kemalangan jalan raya juga disebabkan kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Lantas, seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu dinasihati supaya tidak memandu di jalan raya. 


Kelalaian pemandu sebelum memulakan perjalanan juga menyumbang kepada punca berlakunya kemalangan jalan raya. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Natijahnya, kenderaan mereka tidak diservis. Sebagai contohnya, tayar yang "botak" akan mengakibatkan kereta itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya mengundang malapetaka kepada pemandunya. Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Oleh itu, kesan daripada manusia yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.

Seterusnya, kemalangan jalan raya disebabkan oleh kemelut yang dihadapi pengguna jalan raya. Kondisi jalan raya yang tidak baik menyebabkan jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun. Jalan raya yang berlubang dan tidak rata menyebabkan tayar kenderaan tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Kesannya, kenderaan mudah hilang kawalan dan terbabas lalu berlaku peristiwa ngeri. Peristiwa ngeri ini akan bertambah menjelang hari perayaan dan semakin berleluasa tanpa titik noktahnya. Jelaslah bahawa struktur jalan raya yang kurang memuaskan dan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kemalangan maut.

Seperkara lagi, penguatkuasaan undang - undang yang lemah juga merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya. Denda dan kompaun sebanyak RM 300 bagi kesalahan berat seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu membayar denda tersebut. Selain itu, Ops Sikap dan sekatan jalan raya hanya giat dijalankan ketika musim-musim perayaan. Impaknya, pemandu tidak gentar melakukan kesalahan di jalan raya kerana mereka mampu membayar denda yang dikenakan dan beranggapan operasi hanya dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja dan tidak diimplimentasikan dengan bersungguh-sungguh. 

Kesemua di atas merupakan antara punca kemalangan jalan raya semakin meningkat di negara kita. Pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada ketika hendak memulakan perjalanan dan memandu kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat mengimplimentasikan kewajipan masing-masing, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat dan pihak berkuasa haruslah menggembleng tenaga dan berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat ditangani dengan berkesan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Dengan ini, diharapkan agar masyarakat di Malaysia dapat hidup sejahtera tanpa dibelenggu oleh masalah keselamatan jalan raya. Maka, aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 dapat digapai dan digenggam erat. 


xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid