Wednesday 17 August 2016

Kepentingan amalan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Masalah wabak penyakit semakin menular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200,000 orang jika dibandingkan dengan bilangan pesakit pada tahun dahulu. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani dari akar umbi sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat? Saya akan rangkaikan satu demi satu.

Pertama sekali, salah satu kebaikan amalan gaya hidup sihat termasuklah tumbesaran yang seimbang. Dalam kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakat kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang merupakan antara punca kematian tinggi di negara kita. Maka, tumbesaran yang seimbang ditentukan oleh pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa haruslah menanam tabiat pemakanan seimbang dalam anak-anak sejak usia muda supaya menjaga diet mereka apabila dewasa kelak kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pengambilan minuman berkarbonat dan arak haruslah dikurangkan kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli serta mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka. Lagipun, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan biasanya digoreng dengan penuh minyak. Maka, tumbesaran seorang individu akan lebih menyeluruh dan seimbang. Jelaslah bahawa pemakanan yang seimbang dapat memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden. 

Selain itu, pengamalan gaya hidup sihat melahirkan sikap atau mentaliti positif untuk menangani cabaran dan pancaroba di dunia luar. Terdapat beberapa contoh gaya hidup sihat yang dapat mengurangkan tekanan dan stres kehidupan, iaitu mendapat rehat yang mencukupi dan bersenam. Rehat yang mencukupi memainkan peranan penting dalam pengamalan gaya hidup sihat. Kita perlulah berehat antara 6 hingga 8 jam sehari kerana rehat inilah yang mengecas semula organ-organ dalam badan kita untuk meneruskan kehidupan pada keesokan harinya. Meskipun generasi muda kini lebih suka tidur selepas tengah malam, ibu bapa tetap haruslah menetapkan satu masa tidur yang spesifik untuk dipatuhi oleh anak-anak. Hal ini dapat memastikan anak-anak mendapat pemulihan tenaga sepenuhnya. Sehubungan dengan kita, marilah kita meneruskan perbincangan tentang aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Secara umum, kita seharusnya melakukan aktiviti senaman sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan 3 kali seminggu. Aktiviti bersukan dapat mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman menyebabkan semua toksin badan keluar bersama-sama. Stres yang dialami juga dapat dihilangkan jua. Kesannya, individu tersebut mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Selain menyihatkan badan, aktiviti sukan juga dapat mencergaskan minda kita. Hal ini disebabkan ketika bersukan, oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan untuk menjalankan proses respirasi, di samping mempercepat alira oksigen ke otak. Maka, kita tidak mudah mengantuk ketika berada di sekolah mahupun di tempat bekerja. Sudah pastinya produktiviti kerja serta proses pembelajaran akan lebih efisien kerana bak kata pepatah, minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Jelaslah bahawa rehat yang secukupnya dan aktiviti sukan dapat melahirkan minda serta badan yang ishat. 

Kepentingan amalan gaya hidup sihat seterusnya ialah pencegahan serangan penyakit. Pemeriksaan kesihatan secara berkala merupakan antara kaedah untuk menjamin satu kehidupan yang sihat. Melalui pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali, pihak doktor mampu mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Hal ini memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, orang ramai perlu mengutamakan kebersihan diri bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi dan berpakaian bersih perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, asas-asas kebersihan lain perlu diamalkan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan agar tidak dihinggapi lalat dan juga memilih tempat makan yang bersih untuk menjamu selera. Selain mengutamakan kebersihan diri, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan ssebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan dan ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang shirt. 


Anda mungkin meminati juga:



Friday 18 March 2016

Langkah-langkah memupuk perpaduan

Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman.  Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi. 

Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda. 




Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. 


Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa. 


Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.


Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu. 



Anda mungkin meminati juga:


Monday 14 March 2016

Punca-punca berlakunya gejala rasuah dan cara membanterasnya


Rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapat sesuatu dengan mudah dan cepat tetapi salah di sisi undang-undang negara. Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini dan menjadi buah mulut media massa. Media massa selalu menyiarkan pelbagai kes rasuah yang melibatkan pegawai berprofil tinggi sebagai bukti isu ini semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.  Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia berada pada tangga ke 50 daripada 175 buah negara pada tahun 2014. Senario ini amat menggemparkan kerana gejala rasuah akan mencemarkan nama baik negara kita. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan gejala rasuah berlaku dan bagaimana kita patut menangani isu ini? Saya akan rangkaikan satu demi satu.

Antara punca berlakunya gejala rasuah termasuklah kurangnya didikan agama dan moral. Semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Didikan agama dan moral merupakan pedoman dan panduan kita semasa menempuh belantara kehidupan. Namun demikian, seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat mudah terpengaruh dengan dunia hedonistik yang mementingkan aspek kebendaan semata-mata. Mereka akan leka mengejar kekayaan dan mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan dengan mengambil rasuah untuk memenuhi fatamorgana diri sendiri. Individu sebegini sudah kehilangan prinsip asas dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Jelaslah bahawa anutan agama dan moral yang kurang mantap akan menyebabkan seseorang melibatkan diri dalam gejala rasuah.

Punca lain yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutamanya aspek pemberian tender, kontrak dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk mengaut keuntungan dengan memberikan rasuah. Lagipun, ketiadaan sistem permantauan berkesan yang bak melepaskan batuk di tangga menyebabkan ramai pekerja awam yang terangsang untuk melakukan jenayah ini. Maka, wabak sosial ini telah menular dalam masyarakat kita sehingga dianggap sebagai asam garam kehidupan dan merupakan kebiasaan di negara kita. Persepsi demikian menyebabkan jumlah kes rasuah melambung tinggi dan menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.

Seperkara lagi, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dalam sistem perundangan 
negara kita turut menyumbang kepada penularan gejala rasuah dalam negara kita. 
Tindakan mahkamah yang menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah menimbulkan pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman negara kita untuk menangani isu ini. Hukuman ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana sedar bahawa mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang diambil setelah keluar dari penjara. Terdapat juga anggapan rakyat bahawa masih ada pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi tidak dibawa ke muka pengadilan. Hal ini telah mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk menangani isu ini. Sesungguhnya, kekurangan ketegasan sistem kehakiman kita dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah merupakan antara penyumbang utama kepada kejadian jenayah rasuah di negara kita. 


Untuk menangani isu rasuah dari akar umbi, ibu bapa dan barisan pendidik memainkan peranan yang signifikan dalam menyemai nilai murni pada sanubari anak. Sejak usia muda, anak-anak perlu dididik tentang keburukan mengambil rasuah kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa perlulah menjadi entiti mithali dan teladan baik dengan bersikap jujur dan menjauhi amalan rasuah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang melakukan jenayah rasuah dan cuba menasihati anak-anak mereka untuk menjauhi gejala tersebut ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan dan nasihat mereka akan bagai mencurah air ke daun keladi. Di sekolah, pengajaran pendidikan agama dan moral perlu diberikan tekanan. Barisan pendidik boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah dengan anak murid sebagai iktibar supaya tidak melakukan jenayah rasuah dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya, kerjasama daripada ibu bapa dan barisan pendidik mampu melahirkan anak bangsa yang berpegang kuat pada prinsip mereka dan menjauhi amalan rasuah.

Pihak kerajaan boleh membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut sosial ini dengan menguatkuasakan undang-undang negara kita. Sistem kehakiman negara kita perlulah diperketat dan pesalah-pesalah rasuah mestilah ditahan, didakwa dan dihukum tanpa mengira kedudukan mereka. Hukuman tegas perlu dijatuhkan pada pesalah rasuah sebagai amaran kepada orang lain agar tidak melakukan jenayah tersebut kerana bak kata pepatah, harimau ditakuti disebabkan giginya. Kesungguhan kerajaan dalam membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan juga memberikan satu peringatan yang kekal terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung badan. Jelaslah bahawa tindakan tegas terhadap semua pengamal rasuah tanpa memilih bulu akan mendorong masyarakat kita supaya menjauhi jenayah tersebut.

Di samping itu, media massa turut memainkan peranan vital dalam menimbulkan kesedaran dalam lapisan masyarakat tentang keburukan dan implikasi mengambil rasuah. Pihak kerajaan seharusnya melancarkan kempen iklan yang efektif dengan menggunakan media massa secara holistik, iaitu akhbar hingga ke internet untuk memastikan setiap lapisan masyarakat didedahkan kepada kempen tersebut. Kempen ini bertujuan untuk memberikan amaran dan peringatan kepada setiap individu tentang hukuman yang akan dihadapi jika mengambil rasuah. Justeru, masyarakat akan berfikir dua kali sebelum menerima rasuah dan senario ini akan mengurangkan kes rasuah dengan signfikan. Sudah terang lagi bersuluh, dalam menempuh arus globalisasi ini media massa merupakan senjata yang efektif dalam  membanteras jenayah rasuah di negara kita. 

Konklusinya, rasuah merupakan wabak sosial yang mestilah dibanteras hingga ke akar umbi. Semua pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mengatasi gejala rasuah di negara kita. Jika setiap individu memainkan peranan dengan mengelakkan diri daripada mengambil rasuah, pastilah masalah ini dapat ditangani kerana bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka, tindakan saksama yang dikenakan terhadap pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan juga dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Lantas, negara kita dapat terus maju dan muncul sebagai negara kelas pertama di pentas dunia. 


Anda mungkin meminati juga:




Sunday 21 February 2016

Punca Berlakunya Kes Penderaan Kanak-kanak dan cara-cara menangani masalah ini

Penderaan merujuk kepada penderaan secara fizikal dan mental terhadap manusia. Penderaan kanak-kanak bukanlah suatu isu yang baharu di Malaysia bahkan telah menjadi isu yang membelenggu masyarakat di negara kita. Jika diselak dada akhbar, kita akan mendapati bahawa bilangan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia terus meningkat tanpa titik noktahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sebenarnya, anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Maka benarlah bahawa kanak-kanak ibarat kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. Ironinya, apa yang berlaku, harapkan pagar, pagar makan padi. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia baru-baru ini, sebanyak 70 peratus kes penderaan kanak-kanak dilakukan oleh ibu bapa sendiri manakala 30 peratus dilakukan oleh pengasuh dan pembantu rumah. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani secepat mungkin. Persoalannya, apakah punca yang menunjangi masalah sosial ini dan apakah cara mengatasinya? Saya akan rangkaikan satu per satu.

Masalah institusi keluarga merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan rapuh antara suami dan isteri akibat campur tangan pihak ketiga. Maka, pergaduhan antara suami dengan isteri akan berlaku dan seterusnya penceraian.  Senario ini menyebabkan produktiviti ibu bapa di tempat kerja merosot dan seterusnya tekanan oleh majikan pun meningkat. Ditambahkan pula dalam perjalanan pulang ke rumah, masalah kesesakan jalan raya akan meningkatkan ketegangan emosi dan stres ibu bapa. Ibu bapa yang tidak berfikir matang mampu melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek. Sudah terang lagi bersuluh, tekanan emosi ibu bapa dalam institusi keluarga yang tidak terkawal akan mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa penderaan. 

Selain itu, kesempitan hidup juga menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak. Masalah kewangan dan kos hidup yang tinggi menyebabkan ibu bapa terpaksa membanting tulang di dunia luar. Situasi ini mendorong ibu bapa untuk menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah yang tertentu pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberikan upah seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak berperikemanusiaan akan mendera kanak-kanak dengan tali pinggang, mencucuk mereka dengan puntung rokok ataupun membiarkan mereka dalam keadaan kelaparan. Yang menggemparkan lagi, terdapat segelintir pengasuh yang melakukan keganasan seksual terhadap kanak-kanak itu. Apabila anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh anak mereka lebam dan lemah dan seterusnya melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Namun demikian, terdapat sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan dengan saudara mereka. Jelaslah bahawa masalah kewangan semasa membesarkan anak akan mengakibatkan kes penderaan kanak-kanak berlaku.

Di samping itu, kekurangan didikan agama dalam kalangan ibu bapa merupakan faktor lain kejadian penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin keutuhan dan perpaduan sesebuah institusi keluarga. Agama juga memberikan panduan terbaik dalam menguruskan keluarga. Namun demikian, terdapat ibu bapa yang tidak mempraktikkan ajaran agama mereka dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Kedangkalan ilmu agama akan menyebabkan sesebuah keluarga dipandu dengan cara yang kontra dengan didikan agama kerana bak kata pepatah, bengkok batang bengkoklah bayangnya. Hal ini menyebabkan ibu bapa bersikap bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Kajian menunjukkan bahawa pendera kanak-kanak ramai yang merupakan pasangan muda. Hal ini disebabkan pasangan muda masih berkelakuan seperti remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Tambahan pula, orang muda sering berdarah panas dan mudah naik angin dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan anak-anak. Penghayatan ajaran agama yang tidak mantap akan menyebabkan pasangan muda tidak mampu berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata serta mencurahkan kasih sayang penuh terhadap anak-anak mereka. 

Untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan perlu diimplimentasikan dengan rancak. Melalui pendidikan ini, ibu bapa akan didedahkan kepada cara betul untuk mendidik anak-anak dan melayan pasangan mereka dengan baik. Mereka perlu diberikan kesedaran bahawa penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan undang-undang. Melalui kempen "Keluarga Bahagia", ibu bapa akan dididik tentang tanggungjawab mereka dalam membina institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera. Mereka perlu berusaha untuk memajukan cara-cara menjaga dan mendidik anak serta menyayangi mereka bak menatang minyak yang penuh. Pendidikan ini perlu diberikan tekanan dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Terbuktilah bahawa ibu bapa perlu kerap dididik tentang cara-cara untuk hidup berkeluarga bagi mengurangkan masalah penderaan kanak-kanak. 

Selain itu, peranan masyarakat amat signifikan dalam usaha membendung masalah penderaan kanak-kanak daripada terus menular. Masyarakat haruslah membuang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan usahlah mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, masyarakat patutlah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka. Jika mendapati bahawa terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, kita haruslah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat mungkin. Lagipun, pengawalan keselamatan di kawasan kediaman penduduk seharusnya diperketat untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang berani mendera kanak-kanak sesuka hati. Dalam konteks ini, masyarakat haruslah menyemai sikap jaga tepi kain orang dan melakukan rondaan bergilir untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras kes penderaan kanak-kanak kerana terdapat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. 

Seperkara lagi, langkah lain untuk mengurangkan bilangan kes penderaan kanak-kanak ialah penguatkuasaan undang-undang. Parlimen mestilah menggubal rang undang-undang bagi mencegah perbuatan mendera kanak-kanak kerana bak kata pepatah harimau ditakuti disebabkan giginya. Mereka yang bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman berat. Anggota masyarakat sepatutnya berani tampil ke muka pengadilan untuk menjadi saksi. Pesalah-pesalah ini perlu dianggap sebagai penjenayah dan dihukum rotan atau dipenjara. Hukuman ini bertujuan untuk memberikan pengajaran dan kesedaran kepada pesalah serta amaran kepada pasangan lain supaya tidak mendera anak-anak mereka. Sesi bimbingan dan kaunseling juga patut diberikan untuk menyedarkan pasangan bersalah tentang tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Usaha ini perlu diimplimentasikan berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jelaslah bahawa pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menangani masalah penderaan kanak-kanak.

Tuntasnya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan sisi undang. Semua pihak perlulah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk membanteras gejala ini dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi. Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing, pastilah kes penderaan kanak-kanak akan ditangani kerana bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Maka, masyarakat kita tidak lagi dibelenggu oleh isu ini dan dapat hidup dengan sejahtera. Akhir kata, kanak-kanak merupakan aset negara yang akan meneruskan pembangunan negara dan mengharumkan nama negara di pentas dunia serta mencapai Wawasan 2020, iaitu visi mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad. 





Anda mungkin meminati juga: