Sunday 21 February 2016

Punca Berlakunya Kes Penderaan Kanak-kanak dan cara-cara menangani masalah ini

Penderaan merujuk kepada penderaan secara fizikal dan mental terhadap manusia. Penderaan kanak-kanak bukanlah suatu isu yang baharu di Malaysia bahkan telah menjadi isu yang membelenggu masyarakat di negara kita. Jika diselak dada akhbar, kita akan mendapati bahawa bilangan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia terus meningkat tanpa titik noktahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sebenarnya, anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Maka benarlah bahawa kanak-kanak ibarat kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. Ironinya, apa yang berlaku, harapkan pagar, pagar makan padi. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia baru-baru ini, sebanyak 70 peratus kes penderaan kanak-kanak dilakukan oleh ibu bapa sendiri manakala 30 peratus dilakukan oleh pengasuh dan pembantu rumah. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani secepat mungkin. Persoalannya, apakah punca yang menunjangi masalah sosial ini dan apakah cara mengatasinya? Saya akan rangkaikan satu per satu.

Masalah institusi keluarga merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan rapuh antara suami dan isteri akibat campur tangan pihak ketiga. Maka, pergaduhan antara suami dengan isteri akan berlaku dan seterusnya penceraian.  Senario ini menyebabkan produktiviti ibu bapa di tempat kerja merosot dan seterusnya tekanan oleh majikan pun meningkat. Ditambahkan pula dalam perjalanan pulang ke rumah, masalah kesesakan jalan raya akan meningkatkan ketegangan emosi dan stres ibu bapa. Ibu bapa yang tidak berfikir matang mampu melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek. Sudah terang lagi bersuluh, tekanan emosi ibu bapa dalam institusi keluarga yang tidak terkawal akan mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa penderaan. 

Selain itu, kesempitan hidup juga menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak. Masalah kewangan dan kos hidup yang tinggi menyebabkan ibu bapa terpaksa membanting tulang di dunia luar. Situasi ini mendorong ibu bapa untuk menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah yang tertentu pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberikan upah seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak berperikemanusiaan akan mendera kanak-kanak dengan tali pinggang, mencucuk mereka dengan puntung rokok ataupun membiarkan mereka dalam keadaan kelaparan. Yang menggemparkan lagi, terdapat segelintir pengasuh yang melakukan keganasan seksual terhadap kanak-kanak itu. Apabila anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh anak mereka lebam dan lemah dan seterusnya melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Namun demikian, terdapat sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan dengan saudara mereka. Jelaslah bahawa masalah kewangan semasa membesarkan anak akan mengakibatkan kes penderaan kanak-kanak berlaku.

Di samping itu, kekurangan didikan agama dalam kalangan ibu bapa merupakan faktor lain kejadian penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin keutuhan dan perpaduan sesebuah institusi keluarga. Agama juga memberikan panduan terbaik dalam menguruskan keluarga. Namun demikian, terdapat ibu bapa yang tidak mempraktikkan ajaran agama mereka dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Kedangkalan ilmu agama akan menyebabkan sesebuah keluarga dipandu dengan cara yang kontra dengan didikan agama kerana bak kata pepatah, bengkok batang bengkoklah bayangnya. Hal ini menyebabkan ibu bapa bersikap bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Kajian menunjukkan bahawa pendera kanak-kanak ramai yang merupakan pasangan muda. Hal ini disebabkan pasangan muda masih berkelakuan seperti remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Tambahan pula, orang muda sering berdarah panas dan mudah naik angin dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan anak-anak. Penghayatan ajaran agama yang tidak mantap akan menyebabkan pasangan muda tidak mampu berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata serta mencurahkan kasih sayang penuh terhadap anak-anak mereka. 

Untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan perlu diimplimentasikan dengan rancak. Melalui pendidikan ini, ibu bapa akan didedahkan kepada cara betul untuk mendidik anak-anak dan melayan pasangan mereka dengan baik. Mereka perlu diberikan kesedaran bahawa penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan undang-undang. Melalui kempen "Keluarga Bahagia", ibu bapa akan dididik tentang tanggungjawab mereka dalam membina institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera. Mereka perlu berusaha untuk memajukan cara-cara menjaga dan mendidik anak serta menyayangi mereka bak menatang minyak yang penuh. Pendidikan ini perlu diberikan tekanan dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Terbuktilah bahawa ibu bapa perlu kerap dididik tentang cara-cara untuk hidup berkeluarga bagi mengurangkan masalah penderaan kanak-kanak. 

Selain itu, peranan masyarakat amat signifikan dalam usaha membendung masalah penderaan kanak-kanak daripada terus menular. Masyarakat haruslah membuang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan usahlah mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, masyarakat patutlah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka. Jika mendapati bahawa terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, kita haruslah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat mungkin. Lagipun, pengawalan keselamatan di kawasan kediaman penduduk seharusnya diperketat untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang berani mendera kanak-kanak sesuka hati. Dalam konteks ini, masyarakat haruslah menyemai sikap jaga tepi kain orang dan melakukan rondaan bergilir untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras kes penderaan kanak-kanak kerana terdapat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. 

Seperkara lagi, langkah lain untuk mengurangkan bilangan kes penderaan kanak-kanak ialah penguatkuasaan undang-undang. Parlimen mestilah menggubal rang undang-undang bagi mencegah perbuatan mendera kanak-kanak kerana bak kata pepatah harimau ditakuti disebabkan giginya. Mereka yang bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman berat. Anggota masyarakat sepatutnya berani tampil ke muka pengadilan untuk menjadi saksi. Pesalah-pesalah ini perlu dianggap sebagai penjenayah dan dihukum rotan atau dipenjara. Hukuman ini bertujuan untuk memberikan pengajaran dan kesedaran kepada pesalah serta amaran kepada pasangan lain supaya tidak mendera anak-anak mereka. Sesi bimbingan dan kaunseling juga patut diberikan untuk menyedarkan pasangan bersalah tentang tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Usaha ini perlu diimplimentasikan berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jelaslah bahawa pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menangani masalah penderaan kanak-kanak.

Tuntasnya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan sisi undang. Semua pihak perlulah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk membanteras gejala ini dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi. Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing, pastilah kes penderaan kanak-kanak akan ditangani kerana bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Maka, masyarakat kita tidak lagi dibelenggu oleh isu ini dan dapat hidup dengan sejahtera. Akhir kata, kanak-kanak merupakan aset negara yang akan meneruskan pembangunan negara dan mengharumkan nama negara di pentas dunia serta mencapai Wawasan 2020, iaitu visi mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad. 





Anda mungkin meminati juga: