Friday 29 May 2015

Surat 1 Malaysia

2, Jalan Happy,
Taman Ceria,
51000, Kuala Lumpur.

23 Jun 2013

Menemui Perdana Menteri Yang Berhormat Dato' Sri Najib Tun Razak,

Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Yang Berhormat untuk membaca utusan surat saya meskipun terdapat urusan hal ehwal yang bertimbun-timbun. Saya bernama Siti Nurhaliza. Saya merupakan seorang murid yang beraspirasi tinggi untuk menjadi individu yang berilmiah dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul agar dapat berjasa kepada negara pada masa akan datang. Terdapat beberapa sebab saya menyayangi negara Malaysia.

Pertamanya, kita tidak dibelenggu oleh masalah kekacauan atau pergolakan politik. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara ke-9 paling aman di dunia. Hal ini disebabkan perpaduan kaum yang tidak dipandang enteng oleh setiap lapisan masyarakat. Perpaduan kaum dianggap sebagai elemen vital oleh semua untuk mengekalkan kedaulatan negara kerana bak kata pepatah "bersatu teguh bercerai roboh". 

Selain itu, meskipun rakyat Malaysia berbilang bangsa, kita mampu menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Semasa menghadiri majlis perayaan seperti rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, kita boleh mengenali adat resam kaum lain dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap saling menghormati. Maka, slogan 1 Malaysia menjadi iktibar dan pedoman kepada kita supaya saling membantu bak "aur dengan tebing".

Saya bangga kerana rakyat Malaysia juga mempunyai semangat patriotik yang berkobar-kobar. Kita menghargai tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai negara yang disanjungi di persada antarabangsa dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit. George Bernard Shaw pernah mengungkapkan "Patriotisme ialah keyakinan anda bahawa negara ini lebih hebat daripada semua negara lain sebab anda lahir di sini."

Negara Malaysia merupakan tempat saya dilahirkan, dibesarkan dan kemungkinan dikebumikan. Saya berdoa agar negara tercinta saya akan terus maju dan menjadi termasyhur di seluruh pelosok dunia. Seterusnya, aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 dapat digapai dan digenggam erat. Setakat ini cetusan minda. Sekian, salam Satu Malaysia.


Yang Benar,

Siti Nurhaliza

(SITI NURHALIZA)


xx




Anda mungkin meminati juga:


Thursday 28 May 2015

Surat 1 Malaysia (II)

9,  Taman Seputih
Japan Happy,
51000, Kuala Lumpur.

9 Julai 2013.

Menemui Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato' Sri Najib Tun Razak,

Salam sejahtera saya ucapkan. Semoga Dato' Sri dan keluarga sihat sejahtera dan bahagia selalu. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Yang Amat Berhormat Dato' Sri untuk membaca utusan surat saya meskipun perlu menangani hal ehwal negara yang lebih merumitkan.

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

Nama saya Siti Nurhaliza. Saya tinggl di Taman Seputih sepanjang 14 tahun usia saya. Kawasan ini merupakan tempat saya dibesarkan dan merupakan benteng pertahanan saya daripada pancaroba di dunia.

Dalam menempuh millennium yang sarat dengan cabaran globalisasi, tempat tinggal kita perlu dimajukan dari aspek ekonomi, pendidikan bahkan teknologi. Walaupun "darah setampuk pinang", saya ingin menyumbang buah fikiran dan cetusan minda untuk membangunkan lagi kawasan tempat tinggal tercinta. Saya percaya bahawa proses urbanisasi mampu membangunkan kawasan tempat tinggal saya sehingga membentuk suatu landskap yang moden. Maka, semua penduduk dapat meraih faedah dengan kewujudan kawasan tempat tinggal yang indah dan nyaman.

Sesebuah tempat tinggal yang mempunyai kemudahan prasarana dan sosial yang lengkap dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Melihat dari perspektif pendidikan, pihak-pihak tertentu boleh membina sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi untuk mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berilmiah dan disanjungi. Lokasi-lokasi ini akan mencambahkan lagi diskusi ilmu seperti seminar dan konvensyen. Pihak tertentu juga patut membina gedung ilmu seperti perpustakaan awam yang mengandungi akses internet agar semua orang dapat menimba ilmu dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Saya percaya kemudahan ini dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan ektensif kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Tuntutlah ilmu sehingga negara China."

Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang, saya yakin sains dan teknologi juga perlu dititikberatkan. Internet merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Lantas, wifi percuma perlu disediakan sebagai inisiatif kerajaan untuk memudahkan urusan penduduk setempat. Pembangunan laman portal Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) juga merupakan salah satu langkah untuk mendedahkan komuniti dengan segala maklumat dalam merentas era teknologi ICT. Usaha ini tidak boleh dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga. Kemudahan internet jalur lebar percuma dapat membentuk masyarakat yang berminda saintifik dan moden, mempunyai daya perubahan tinggi dan mampu menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi pada masa depan.

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

Ralph Waldo Emerson pernah mengungkapkan "kesihatan ialah petunjuk pada kegembiraan." Pihak kerajaan juga boleh menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk setempat. Bertepatan dengan gagasan 1 Malaysia " Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", 50 buah klinik 1 Malaysia telah dibina. Klinik 1 Malaysia merupakan sebuah projek klinik yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak. Maka usaha ini dapat diimplimentasikan dengan lebih efektif jika lebih banyak klinik sebegini disediakan di kawasan perumahan di seluruh Malaysia sebagai salah satu bukti kerajaan prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah.

Usaha mengurangkan kadar kegiatan jenayah di kawasan tempat tinggal di bawah agensi-agensi tertentu seperti NKRA, rondaan 1 Malaysia perlu ditingkatkan untuk membanteras jenayah. Kamera-kamera litar bertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Strategi-strategi yang bergantung pada keyakinan dan kerjasama masyarakat untuk mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada masyarakat setempat patut diimplimentasikan. Misalnya, "SRS" merupakan sebahagian tugas kepolisan sebagai suatu tanggungjawab bersama masyarakat dengan membabitkan diri dalam mengurangkan jenayah. Bak kata pepatah, "bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

Akhir sekali, untuk membina masyarakat yang berminda kelas pertama, saya bercadang agar lebih banyak kawasan tempat tinggal dapat menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Rukun Tetangga berfungsi memelihara keharmonian antara penduduk dengan mengadakan aktiviti untuk memupuk hubungan silaturahim antara penduduk demi kemakmuran kawasan kediaman. Bak kata pepatah "hidup sepakat membawa berkat". Misalnya, Rukun Tetangga boleh mengadakan rumah terbuka untuk setiap perayaan dan menganjurkan program seperti bengkel ICT dan program motivasi untuk meningkatkan kualiti komuniti. Hal ini dapat menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik antara penduduk setempat seiring dengan pelestarian slogan 1 Malaysia yang sering diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Semangat kekitaan dan perpaduan unggul antara penduduk juga akan memberikan imej baik di mata pelancong dan mata dunia sekaligus menyumbang ke arah pembangunan sektor pelancongan di negara kita.

Tuntasnya, tempat tinggal yang maju merupakan simbol yang membuktikan kepesatan perkembangan negara kita. Maka, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk membangunkan dan meningkatkan prestasi kawasan perumahan di seluruh pelosok Malaysia. Bersama-sama kita merealisasikan iltizam negara kita untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 sebagai sebuah negara yang termasyhur di persada antarabangsa. Saya berpegang kepada kata-kata Bapa Kemerdekaan Presiden Indonesia yang pertama iaitu Soekarno "Pemuda mesti bercita-cita besar, meningkat lebih tinggi dari Gunung Singgalang, lebih tinggi dari Gunung Merapi, yang lebih tinggi dari Gunung Tandikit, bahkan harus lebih tinggi dari bintang-bintang di langit, cubalah capai dengan tenagamu". Saya mempercayai kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Sri dan saya menyahut Cabaran 1 Malaysia untuk menjadi warganegara yang berkualiti, berketrampilan dan menumpahkan taat setia kepada kerajaan. Akhir kata, setakat ini sahaja cetusan minda saya. Salam 1 Malaysia.

Yang Benar,

Siti Nuharliza

(SITI NURHALIZA)


xx




Anda mungkin meminati juga:



Sunday 24 May 2015

Makna Hari Malaysia

Pada tarikh keramat 16 September 1963, terbentuklah negara baharu di peta dunia yang dinamai "Malaysia" hasil gabungan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah , Sarawak dan Singapura. Bertitik tolak sebagai sebuah negara berdaulat, "Hari Malaysia" turut diisytiharkan sebagai cuti am. Hari istimewa ini disambut oleh rakyat di seluruh pelosok negara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Yang pasti, semuanya berasa bangga untuk menyambut hari tersebut sebagai tarikh bersejarah yang harus diraikan, terutama oleh generasi pada hari ini.

Dengan menghayati makna "Hari Malaysia", pengetahuan tentang sejarah pembentukan negara kita merupakan kata kunci yang perlu dipegang sebagai "azimat". Hal ini demikian kerana orang cerdik pandai sering berkata bahawa "sejarah merupakan guru terbaik " untuk mendidik manusia memanfaatkan sejarah silam. Tujuan kita menghargai sejarah negara bukanlah sekadar untuk bernostalgia semata-mata, bahkan mengajar kita erti Hari Kebangsaan, dan juga melahirkan jati diri bangsa. Lantas, kita dapat membangunkan negara agar lebih maju, makmur dan berdaya saing.

Selain itu, generasi muda zaman kini berperanan sebagai penentu kesejahteraan negara pada masa akan datang. Imam al-Bukhari pernah berkata "Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan muda yang ada sekarang." Mereka akan menjadi pewaris kepimpinan negara, dan haruslah menghargai makna "Hari Malaysia". Makna ini akan terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung dalam badan. Golongan muda harus berusaha mengekalkan kedaulatan negara dengan jiwa yang merdeka dan sentiasa menjaga imej negara di mata dunia.

Dari perspektif yang lain, sistem pendidikan harus diperkasakan dan peringkat akar umbi, iaitu pada peringkat sekolah rendah lagi melalui mata pelajaran Sejarah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Pengajaran ini mampu memberikan kefahaman, pengetahuan, rujukan sebenar tentang pentingnya "Hari Malaysia" kepada pelajar supaya membesar menjadi individu yang cinta akan negara.

Yang paling penting, kita sebagai rakyat Malaysia patut membebaskan minda daripada dibelenggu dan dicengkam oleh "warisan" penjajahan dengan berusaha untuk berjasa kepada negara. Kita wajarlah mendukung aspirasi negara melalui pembangunan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam pembudayaan ilmu. Maka, perpaduan kaum dapat menyinarkan dan mengharumkan makna "Hari Malaysia" dengan sebaiknya. Hal ini dapat diwujudkan melalui amalan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" dalam kehidupan. Ingatlah, bak kata pepatah "Bersatu teguh, bercerai roboh".

Tuntasnya, "Hari Malaysia" merupakan iktibar dan pelajaran dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia. Dengan penyemaian makna ini dalam kalangan rakyat, pastilah negara kita dapat mencapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa.


xx




Anda mungkin meminati juga:






Industri Sukan Menjanakan Ekonomi

Senario industri sukan tanah air kini mengalami perkembangan yang pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Perkembangan tersebut diukur daripada prestasi atlet, kemudahan infrastruktur sukan yang baik dan gelombang kebangkitan padu peminat sukan tanah air pada tahap yang tinggi. Persoalannya, bagaimanakah industri sukan dapat menjanakan ekonomi negara kita?

Banyak inisiatif yang dirangka oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi memartabatkan sukan negara ke peringkat global. Stadium Bukit Jalil diangkat sebagai "Bandar Sukan" bertujuan untuk memajukan industri sukan serta menjanakan pendapatan negara. Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Sri Shaberi Chik, berkata bahawa pada tahun 2009 sahaja industri sukan telah menyumbangkan lima peratus pendapatan negara kasar (KNK), iaitu RM 30.2 billion. Malah, industri sukan negara telah dipilih daripada 12 bidang ekonomi utama (NKEA) oleh kerajaan.

Seperti yang diketahui umum, kebangkitan bola sepak "Harimau Melaya" telah membantu menjanakan pendapatan negara melalui penjualan jersi kebangsaan. Begitu juga melalui jualan tiket semasa kedatangan kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Malaysia.

Kutipan terbanyak adalah ketika Harimau Malaya beraksi di Stadium Bukit Jalil yang memuatkan kapasiti 80 ribu penonton yang penuh sesak. Gambaran ini ialah imbasan kejayaan Malaysia menjuarai piala AFC SUZUKI pada tahun 2010. Kebangkitan penyokong setia sebeginilah banyak membantu industri sukan negara agar berkembang pesat.

Demi meninggikan imej sukan di mata rakyat Malaysia dan mengangkat ekonomi negara, FAM telah berani merangka strategi. Contohnya, FAM memberikan peluang kepada penyerang berbisa negara, Safee Sali, menyertai Pelita Jaya demi menajamkan permainan serta memantapkan pengalaman beliau. Kita harus berbangga kerana Liga Malaysia (M-LEAGUE) dianggap setanding dengan liga bola sepak di sekitar Asia Tenggara.

Sokongan moral peminat tanah air merupakan motivasi ikhlas kepada semua atlet dalam pelbagai jenis sukan. Semangat patriotik dengan menyarung jersi kebangsaan dan mengibarkan Jalur Gemilang harus ditebus dengan menggandakan kejayaan sebagai hadiah untuk peminat. Hal ini juga dapat dijadikan penanda aras dalam menjanakan ekonomi negara melalui industri sukan yang rancak membangun. Secara tidak langsung, negara Malaysia mampu mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa.



xx




Anda mungkin meminati juga:





Friday 22 May 2015

Keburukan Internet

Internet merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Kebaikan internet banyak tidak terperi, namun internet juga mendatangkan keburukan kepada kita juga disalahgunakan. Oleh itu, para pengguna perlu sedar akan keburukan internet supaya tidak terjerumus ke dalam lembah yang mampu merugikan diri sendiri.

Pertama, tatkala pelajar asyik melayari laman web yang kurang berfaedah dan bermain permainan video, mereka membazirkan masa yang berharga dan turut mengabaikan pelajaran. Pelajar akan menghabiskan masa di depan komputer dan akhirnya gagal dalam pelajaran. Misalnya, remaja pada masa kini terlalu leka dalam dunia siber dan tidak sanggup membesar menjadi modal insan yang bermutu. Fenomena ini akan menjejaskan pembangunan negara kerana remaja yang bakal menentukan kesejahteraan serta kemakmuran negara kita pada masa hadapan. Imam Al-Bukhari pernah mengungkapkan "Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang."

Selain itu, internet menjadikan kita kurang bersabar. Hal ini disebabkan pengguna telah biasa memperoleh maklumat yang diingini dan menyiapkan sesuatu melalui internet dengan pantas. Namun, tatkala maklumat tidak dapat diproseskan dengan cepat, kita akan mudah mengalami kegusaran dan emosi kebosanan yang menggelegak. Lantas, kita akan menjadi insan yang kurang bersabar dalam pergaulan seharian dan tidak digemari orang kerana senantiasa menginginkan kepantasan proses dalam kehidupan.

Seterusnya, remaja yang kurang berfikiran matang senang dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif yang dipaparkan dalam laman web internet. Misalnya, paparan budaya kuning, aksi-aksi keganasan dan lain-lain. Maka, remaja akan meniru aksi-aksi yang menjejaskan nilai murni yang telah dipupuk dalam sanubari mereka sejak bangku sekolah. Lagipun, ada juga yang terikut-ikut dengan budaya hegemoni Barat dalam hidup dan mengalami keruntuhan akhlak.

Keburukan lain termasuklah kesahihan maklumat yang boleh diragui. Bukan semua maklumat yang diperoleh dari internet adalah benar. Maklumat itu mungkin ditokok tambah dan sengaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna internet. Bahkan terdapat khabar angin yang disebarkan melalui internet mampu menjejaskan imej orang lain. Lebih parah lagi seandainya maklumat tersebut mampu menghancurkan keharmonian sesebuah negara.

Akhir sekali, keselamatan kita diugut kerana "hacker" akan menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang dan berbuat jenayah yang membahayakan keselamatan kita. Tambahan pula, kita mungkin terpedaya oleh tipu helah mereka kerana hanya mengenali mereka melalui gambar yang dipaparkan dalam internet. Selalunya kes-kes penipuan yang terpapar dalam dada akhbar sering dikaitkan dengan penipu yang menyalahgunakan internet.

Tuntasnya, internet merupakan media massa berteknologi yang mendatangkan keburukan sekiranya disalahgunakan. Ibu bapa harus berganding usaha dan menggembleng tenaga dengan pihak berkuasa untuk memantau anak-anak mereka yang sering melayari internet. Lantas, anak-anak mereka tidak mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan. Sekiranya internet dapat digunakan dengan sebaik-baiknya, pastilah masyarakat kita dapat berfikir secara saintifik dan berminda kelas pertama seperti mana yang diungkapkan oleh Imam Al-Bukhari "Ilmu itu ibarat benih yang tumbuh mekar jika dibajai dengan baik." Internet ibarat madu, maka janganlah tukarkan menjadi hempedu.




xx




Anda mungkin meminati juga:




Ciri - ciri Remaja Berwawasan

Dalam menempuh millennium yang sarat dengan cabaran globalisasi, ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul amat penting untuk membangunkan negara. Lebih penting lagi, orang muda yang darah setampuk pinang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur datang dari sanubari yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia senang didampingi, malah dapat meraih rasa hormat daripada masyarakat sekeliling. Remaja sebegini pasti tidak mudah terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata. Remaja sedemikian juga sentiasa berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja yang bermasalah.

Sikap taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berwawasan. Hal ini disebabkan semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan serta kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan dan seterusnya menjadi insan yang kamil. Dia dapat membezakan perkara yang mulia daripada perkara yang buruk. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Selain itu, remaja berwawasan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan ektensif. Mereka akan berusaha untuk menimba ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Maka, remaja sebegini tidak mudah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk berjaya dalam bidang akademik. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Tuntutlah ilmu sehingga negara China." Sebegitu juga Albert Einstein yang mengungkapkan "Semakin banyak ilmu yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui."

Di samping itu, remaja yang berwawasan sentiasa gigih untuk menggapai menara impian. Cecil B DeMile pernah berbicara" Orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang." Hamka juga pernah berkata' Cita-cita membawa manusia ke gerbang kemuliaan, angan-angan membawa manusia terjerumus ke lembah kehinaan." Sudah tentu budaya pesimistik dan culas dapat dikikis demi mencapai kejayaan.

Remaja berwawasan juga berusaha mrnggunakan setiap detik dan waktu dengan sebaik-baiknya agar diisi dengan perkara yang bermanfaat serta berfaedah. Bak kata pepatah, masa itu emas. Samuel Johnson pernah mengungkapkan "Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang." Remaja yang berminda kelas pertama pastinya memahat nilai masa dalam sanubari mereka dan tidak menghabiskan waktu dengan sia-sia. Maka benarlah, masa ibarat pedang, akan memotong kita bila-bila masa sahaja.

Akhir sekali, insan yang mempunyai semangat patriotik juga merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Mereka akan menghargai jasa tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa. Mereka tidak akan bersikap seperti kacang yang lupakan kulit. Mereka juga akan menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sesama manusia demi menyahut slogan "Satu Malaysia". Slogan ini menjadi iktibar dan pedoman dalam kehidupan mereka supaya saling membantu bak aur dengan tebing supaya negara aman dan sejahtera. Semangat ini bertepatan dengan peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Akhir kata, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding bahu untuk melahirkan remaja berwawasan. Bersama-sama kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadi negara yang termasyhur di seluruh pelosok dunia. Imam Al- Bukhari pernah berbicara "Jika kamu ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang."Seperti bak kata peribahasa juga, pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa. Remaja merupakan aset negara yang berharga dan haruslah dididik untuk menjadi insan yang berkualiti dan mampu berjasa kepada pembangunan negara.  Maka, aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 pada masa akan datang mampu digapai dan digenggam erat.



xx




Anda mungkin meminati juga:

Thursday 21 May 2015

Tuliskan surat kiriman tidak rasmi tentang adat perkahwinan kaum anda

Menemui sahabatku, saudari Nameera yang berada di Kuantan. Semoga saudari sihat sejahtera bersama dengan keluarga tercinta.

Saudari,

Surat saudari telah selamat saya terima pada minggu lepas. Terima kasih atas kiriman berita kepada saya. Menarik sungguh penerangan saudari tentang adat perkahwinan saudari. Untuk memenuhi permintaan saudari, saya akan menceritakan adat perkahwinan saya pula.

Majlis perkahwinan kaum Cina mempunyai adat istiadat tersendiri. Adat perkahwinan Cina bermula dengan adat pinangan. Ketika ibu bapa seorang anak lelaki menentukan bakal menantu perempuan, mereka akan mencari tulang risik yang kerjaya adalah untuk mengurangkan konflik kepentingan serta rasa malu ketika membincangkan kemungkinan perkahwinan antara dua buah keluarga yang biasanya tidak rapat atau langsung tidak dikenali.

Seterusnya, jika keluarga bakal menantu perempua tidak membantah terhadap pinangan, tukang risik akan membandingkan tarikh lahir pasangan tersebut. Jika pasangan itu adalah sesuai menurut astrologi Cina, mereka akan meneruskan langkah menyampaikan harga pinangan pengantin perempuan, iaitu hadiah pertunangan. Hadiah perkahwinan berbeza-beza, bergantung kepada adat resam tempatan serta kekayaan keluarga. Makanan istimewa merupaan hadiah yang biasa. Takwim Cina akan dirujuk untuk menetapkan hari yang bertuah.

Tiba masanya, upacara perkahwinan diadakan. Perarakan perkahwinan dari rumah pengantin perempuan bergerak ke rumah pengantin lelaki. Perarakan itu terdiri daripada sebuah tandu pengantin perempuan sebuah pancaragam tradisional, sepasukan pengapit pengantin perempuan, serta hantaran kahwin pengantin perempuan dalam bentuk wang.

Perarakan perkahwinan berhenti di hadapan pintu rumah pengantin lelaki. Terdapat upacara tertentu yang dipatuhi untuk menyambut pengantin perempuan dan ahli-ahli perarakan ke dalam rumah pengantin lelaki. Sepadan dengan melafazkan ikrar perkahwinan di Barat, pasangan akan memberikan penghormatan kepada syurga dan bumi, ibu bapa pengantin lelaki serta antara satu sama lain.

Akhir sekali, jamuan perkahwinan diadakan. Dalam masyarakat Cina, jamuan perkahwinan dikenali sebagai "xi-jiu" yang secara harfiahnya bermaksud "wain kegembiraan" dan kadang-kala lebih penting daripada majlis perkahwinan sendiri. Terdapat juga upacara seperti menuang wain atau teh untuk ibu bapa, pasangan dan para tetamu.

Begitulah penjelasan tentang adat istiadat perkahwinan tradisional kaum saya. Akhir sekali, sambutlah salam mesra daripada saya.

Sekian, terima kasih.


Sahabatmu,

Student KoolAid


xx




Anda mungkin meminati juga:

Karangan Gambaran: Pengalaman di Hospital

Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan-rakan lain berlumba basikal di jalan raya. Malang tidak berbau, sebuah kereta dari arah bertentangan hilang kawalan lalu melanggar saya. Basikal saya terbabas dan saya meraung kesakitan apabila darah berlumuran dari kaki saya. Saya lekas dikejarkan ke hospital yang berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Di hospital, says diletakkan di atas sebuah katil beroda. Kemudian, saya dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan hospital tersebut. Saya berasa amat takut dan kesal kerana berlumba basikal bersama-sama rakan-rakan saya. Beberapa minit kemudian, selepas disuntik sejenis ubat, saya tidak sedarkan diri dan pembedahan itu bermula.

Saya membuka mata. Saya terfikir sama ada saya masih hidup lagi atau sudah meninggal dunia. Saya hendak bergerak, namun gagal kerana tidak boleh menahan kesakitan kaki saya yang cedera parah itu. Saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Rupa-rupanya, saya berada di dalam sebuah wad yang berisi sepuluh orang pesakit.

Di dalam wad tersebut, terdapat bau ubat yang kuat. Saya hampir hendak menekan sebiji butang yang terdapat di tepi katil saya untuk memanggil jururawat. Oleh sebab terlalu bosan, saya berbual-bual dengan pesakit yang berkongsi wad tersebut. Dari perbualan kami, saya mendapat tahu bahawa Pak Busuk yang di sebelah saya menghidapi demam denggi dan Puan Araniwati di katil depan saya lebih malang kerana menghidapi kanser kulit.

Apabila masa untuk makan ubat telah tiba, seorang jururawat masuk ke dalam wad lalu menyuapkan ubat kepada pesakit yang tidak bermaya. Dia juga memeriksa jadual kesihatan setiap pesakit untuk memastikan tahap kesihatan kami stabil. Pada waktu rehat, saya dibenarkan menonton siaran televisyen. Ada satu kali, televisyen menayangkan siaran perlawanan Piala Dunia FIFA yang saya gemari.

Pada suatu malam, ketika semua orang telah tidur, salah seorang pesakit menjerit kesakitan kerana terjatuh dari katilnya. Seorang jururawat terus masuk ke dalam wad tersebut lalu memapah pesakit itu ke atas katilnya. Beberapa minit kemudian, semua orang pun terus tidur.

Pada keesokan harinya, keluarga saya datang ke hospital untuk menziarahi saya. Mereka membawa buah tangan seperti buah-buahan untuk saya. Saya terharu kerana mereka memberi semangat kepada saya untuk pulih. Tiga hari kemudian, saya dibenarkan keluar dari hospital. Keluarga saya pun datang untuk menjemput saya. Sebelum pulang, saya mengucapkan terima kasih kepada jururawat kerana dia sering menolong saya. Saya juga berjanji tidak akan berlumba basikal pada masa akan datang.


xx




Anda mungkin meminati juga:


Wednesday 20 May 2015

Karangan Fakta: Kebaikan Duduk di Bandar

Kini, Malaysia semakin berkembang dengan pesat bukan sahaja daripada aspek ekonomi dan pendidikan bahkan teknologi juga. Di bandar, jika kita melihat bangunan-bangunan yang teguh berdiri di sekeliling kita, kita akan memahami bahawa proses urbanisasi telah berjaya membangunkan bandar-bandar di Malaysia sehingga membentuk suatu landskap yang moden. Oleh itu, kita haruslah menghargai dan menghayati kebaikan duduk di bandar.

Di bandar lengkap dengan kemudahan-kemudahan awam yang dibina oleh kerajaan untuk keselesaan para rakyat. Antaranya termasuklah tandas awam, telefon awam, bas, teksi dan lain-lain. Dengan adanya kemudahan-kemudahan awam sebegini, kita dapat berangkat dari tempat ke tempat dengan mudah. Kita dapat menghargai inisiatif kerajaan untuk membina bandar-bandar yang canggih serta masyarakat yang berminda kelas pertama.

Selain itu, dari aspek pendidikan, pusat bandar memiliki gedung ilmu seperti Muzium Negara, Universiti Malaya, Perpustakaan Negara dan sebagainya. Dengan gedung-gedung ilmu ini, kita dapat menimba ilmu pengetahuan dan menjadi insan yang berilmu dan disanjungi. Dengan cara ini juga, semua orang dapat menambahkan ilmu dan seterusnya meningkatkan pengetahuan dan pengalaman. Bandar merupakan jantung di seluruh negara. Lokasi-lokasi ini amat mencambahkan diskusi ilmu seperti seminar, konvensyen, kongres dan kolokium. Implikasi daripada pencambahan ini telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat ilmu yang membolehkan ramai pelajar asing datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran.

Selanjutnya, sains dan teknologi juga amat dititikberatkan di pusat perbandaran. Jika kita pergi ke kafe "Old Town White Coffee", di situ kita ditawarkan perkhidmatan Wifi yang percuma. Kini, gajet-gajet yang canggih seperti Ipod dan Ipad kerap digunakan oleh orang ramai untuk melayari internet bagi memajukan sendiri. Di mana-mana pun ada sahaja orang yang membawa komputer riba. Ini menunjukkan bahawa perhubungan digital dan maya kerap digunakan. Selain itu, pelajar-pelajar di bandar yang berumur sembilan tahun pun sudah boleh menguasai kebaikan internet, melayari laman web "Facebook" dan juga "Twitter" pun. Kesan sains dan teknologi telah meningkatkan imej bandar dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan seterusnya membentuk masyarakat yang lebih berminda saintifik dan moden.

Akhir sekali iaitu pusat-pusat ekonomi. Di Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara penting bagi perkembangan ekonomi, banyak lokasi yang menjalankan perniagaan hartanah, perladangan, ekuiti pemilik kerajaan seperti Petronas, Ibu Pejabat Shell dan lain-lain yang menjadi ibu pejabat besarnya. Tempat-tempat ini merupakan pusat perkembangan dan pusat penciptaan yang akan mampu merancakkan lagi sektor ekonomi bandar dan negara. Ruang-ruang pekerjaan akan terbuka luas dan ini secara tidak langsung boleh menghapuskan masalah pengangguran dan masalah kemiskinan supaya tidak lagi meninggi. Dengan ekonomi yang kian berkembang, pastinya semua orang dapat merasa faedah bersama. Lantaran itu, ramai orang gemar datang ke bandar untuk mencari mata pendapatan.

Tuntasnya, beberapa isi tadi telah menjelaskan kebaikan duduk di bandar. Ingatlah, sebuah negara yang tiadanya bandar ibarat badan yang tiadanya jantung. Disebabkan bandar, sebuah negara akan maju dan rakyatnya dapat hidup sejahtera. Bagi kita, bandar-bandar di Malaysia membolehkan aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 berjaya digapai dan digenggam erat.


xx




Anda mungkin meminati juga:


Tuesday 19 May 2015

Syarahan: Kebaikan makan buah-buahan tempatan

Terima kasih kepada tuan pengerusi, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, yang berbahagia puan pengetua sekolah, barisan pendidik yang dihormati dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Berdirinya saya pada pagi yang ceria ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bermauduk "kebaikan makan buah-buahan tempatan".

Hadirin sekalian,

Setiap negara di dunia mempunyai buah-buahan yang digemari dan terkenal dalam kalangan masyarakat masing-masing. Contohnya buah kiwi yang popular di New Zealand, buah kelapa yang termashyur di Filipina dan lain-lain yang seumpamanya. Begitu juga buah-buahan tempatan di negara kita. Antaranya buah rambutan, buah durian, buah manggis dan sebagainya. Kebaikan buah-buahan tempatan ini membawa pengertian akan faedah atau manfaat tentang buah-buahan tempatan yang ada di negara kita terhadap kesihatan diri, nilai ekonomi dan simbol kebudayaan masyarakat Malaysia.

Buah-buahan di Malaysia mengandungi banyak khasiat seperti vitamin, zat besi, mineral dan lain-lain. Khasiat-khasiat ini akan membantu kesihatan badan kita untuk meningkatkan tenaga pada tubuh badan, mengawal dan mengurangkan serangan penyakit serta meningkatkan ketahanan diri. Misalnya pisang yang boleh meningkatkan pencernaan perut, buah jambu yang meningkatkan antibodi badan dan menyegarkan tubuh badan kita dan buah manggis juga yang dapat meningkatkan sel-sel badan.

Para hadirin,

Selain itu, buah-buahan tempatan digunakan untuk perniagaan dan perusahaan. Contohnya peniaga dari industri kecil dan sederhana akan menjadikan perniagaan buah-buahan tempatan sebagai mata pencarian bahkan sudah ada peniaga yang berjaya. Jika kita membeli buah-buahan tempatan, kita dapat membangunkan industri perniagaan buah-buahan tempatan. Dengan ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara. Ekonomi negara kita akan berkembang dengan pesat. Dengan dibantu oleh dasar ekonomi kerajaan yang menggalakkan, peniaga-peniaga IKS menceburi bidang ini dengan lebih luas. Dengan memberikan pinjaman perniagaan, peluang-peluang untuk memasarkan buah-buahan tempatan lebih terbuka. Oleh itu, buah-buahan tempatan ini mampu dikomersialkan dengan lebih kreatif dan dinamik. Contohnya boleh dijadikan jus buah-buahan, kek, jus makanan dan lain-lain lagi.

Salah satu faktor Malaysia dikenali di mata dunia adalah disebabkan buah-buahan tempatan yang sedap dan berkhasiat kerana Malaysia terletak di iklim khatulistiwa yang memudahkan pelbagai jenis buah-buahan ditanam. Faedahnya, masyarakat di dunia mampu mengenali Malaysia kerana buah-buahan itu sebagai identiti kebudayaan warga Malaysia. Contohnya, pokok pisang dan buahnya yang digunakan untuk majlis perkahwinan dalam masyarakat India. Dengan cara ini, mereka dapat memahami dan menghargai buah-buahan tempatan sebagai simbol budaya di Malaysia.

Hadirin budiman,

Secara tuntasnya, kebaikan buah-buahan tempatan tidak boleh dinafikan dalam memberikan faedah yang pelbagai kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, saya menyeru agar hadirin dapat menghargai buah-buahan tempatan negara kita. Sekian, terima kasih.


xx




Anda mungkin meminati juga:



Monday 18 May 2015

Karangan Autobiografi: Aku Sehelai Seluar Panjang

Aku membuka mataku. Aku menguap keletihan dan menggosok-gosok mataku untuk melepaskan kepenatan. Aku termenung dan memerhati tempat tinggalku yang sentiasa dalam kegelapan itu. "Begitulah riwayat hidupku yang kasihan ini, kalau bukan anjing itu, pastilah aku masih seluar kesayangan tuanku!" sebak hatiku apabila mengenangkan itu semua, kemarahan yang menggelegak pun sudah tidak berguna.

Jika hendak dibandingkan, dahulunya aku merupakan sehelai seluar panjang yang cantik dan menarik. Aku teringat semasa dilahirkan di dalam sebuah kilang baju, aku dijahit oleh seorang wanita dengan benang kapas. Pada saat itu, aku berasa amat gembira apabila melihat badanku disiapkan dengan cepat sekali. Kesyukuran pada hidup baru ini telah menyebabkan aku dapat menahan kesakitan jarum yang matanya tajam itu. Kemudian, aku diperiksa oleh seorang pekerja untuk memastikan aku menetapi mutu yang dikehendaki. Selepas itu, aku dan rakan-rakan lain diangkat ke dalam lori untuk dihantar ke sebuah pasar raya. Di sana, aku dan rakan-rakan lain dipamerkan di dalam sebuah almari kaca.

Beberapa bulan berlalu, namun aku masih tidak dibeli oleh sesiapa pun. Aku pernah berfikir, betulkah aku akan tinggal di sini selama-lamanya hingga berdebu? Tiba-tiba, seorang lelaki tampan berjalan ke arahku. Lelaki itu berkenan dengan corak dan bentukku dan setelah membelek-belekku, dia pun membayar hargaku di sebuah kaunter. Aku hampir melompat kegembiraan kerana dibeli.

Tuanku bernama Encik Hafizi. Dia seorang peniaga yang berjaya. Dia sering ke negara lain untuk mengembangkan perniagaan dengan mendapatkan tender dan kontrak daripada pelbagai pihak yang ingin membeli produk perniagaannya. Tambahan pula, perniagaannya makin hari makin berkembang dengan pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sewaktu berurusan di luar negara, tuanku kerap mnggunakan aku hingga aku pernah tidak dicuci selama beberapa hari. Seronoknya aku kerana dapat makan angin di negara lain selain mendapat pengetahuan luas tentang tempat-tempat perlancongan di negara-negara tersebut.

Namun sayangnya, malang tidak berbau. Pada suatu hari, tuanku perlu menghadiri mesyuarat yang penting. Oleh sebab tuanku terlewat bangun, dia bergegas menggosok gigi dan memakai pakaian. Dalam keadaan kelam-kabut itu, tuanku meninggalkan aku di atas katilnya. Si Comel, kucing peliharaanya tuanku tiba-tiba masuk ke dalam biliknya. Si Comel pun melompat ke atas katil dan menggigit badanku hingga koyak-rabak. Aku menjerit kesakitan namun tiada orang yang mempedulikanku. Aku hanya mampu menangis teresak-esak kerana badanku sakit seperti dihiris dengan pisau.

Apabila balik ke rumah, alangkah terkejutnya tuanku apabila melihat keadaanku yang kasihan itu. Perasaan bertarung antara hendak membuangku atau tidak seperti peribahasa ditelan pahit, dibuang sayang. Akhirnya, tuanku pun menyimpanku di dalam sebuah laci kecil. Aku berasa tersisih dan hingga hari ini, walaupun peristiwa telah berlalu selama beberapa tahun, aku masih tidak mampu melupakan peristiwa malang yang telah mengubah hidupku selama-lamanya.


xx




Anda mungkin meminati juga:


Karangan Cereka: Mencari Keris

Saya leka membaca Majalah Pancing Khas, mata saya mula kepenatan. Saya meletakkan majalah tersebut di sisi. Secara tiba-tiba, mata saya tersilau oleh suatu cahaya dari tanah yang berhampiran. Saya berlari ke tempat tersebut lalu menggunakan tangan untuk menggali tanah yang menutupi tempat cahaya itu. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat sebilah keris lama yang berlok. Apabila saya amati betul-betul, nampaknya keris tersebut merupakan sejenis warisan sejarah yang mempunyai nilai pusaka tinggi. Saya terkesima dan teruja dengan hasil penemuan saya. Kemudian, saya mengambil sehelai kain lalu membungkus keris itu. Sehubungan dengan itu, saya mengambil keputusan untuk menunjukkan keris itu kepada ibu saya apabila pulang ke rumah lelaki.

Ketika tiba di rumah, saya menunjukkan keris itu kepada ibu dan menerangkan peristiwa tersebut. Ibu tergamam dan segera mengambil keris tersebut lalu diberikan kepada jiran sebelah saya, iaitu Encik Hashim kerana beliau seorang pegawai muzium. Encik Hashim membelek-belek keris itu dan menyatakan bahawa keris itu merupakan sebilah keris lama. Selepas itu, beliau lekas menghubungi pihak muzium dan beberapa orang pengkaji arkeologi.

Ketika para pengaji arkeologi tiba, mereka melakukan penilaian terhadap keris itu. Mereka membuktikan bahawa keris itu bukan sahaja keris lama, malah dari zaman dahulu. Beberapa orang wartawan pula mengambil gambar dan menemu ramah saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan penemuan keris itu. Pada malam itu, temu ramah saya pun masuk ke dalam siaran televisyen.

Pada hari keesokannya, saya menerima panggilan daripada ramai peminat dan pengkaji sejarah seperti profesor universiti, persatuan-persatuan sejarah, dan lain-lain yang seumpamanya. Pada saat itu, saya berkhayal seolah-olah seperti seorang yang termashyur dan terkenal.

Di sekolah, murid-murid asyik menanya saya tentang hasil penemuan saya. Saya hanya tersipu-sipu malu sahaja apabila dipuji oleh guru. Semasa perhimpunan, saya diminta berkongsi pengalaman tentang penemuan senjata itu. Selain berkongsi pengalaman tersebut, saya turut menyeru murid-murid agar menghargai bahan sejarah negara dan kita wajar berbangga kerana negara kita mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Saya juga mendapat sijil penghargaan dan cenderamata daripada pihak muzium sebagai tanda penghargaan. Encik Hashim yang mewakili kakitangan muzium itu turut mengucapkan terima kasih kepada saya.

Sejak hari itu, saya ada hati terhadap bidang sejarah dan turut bercita-cita untuk menjadi seorang pengkaji sejarah negara yang terkenal. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Peribahasa ini selama-lamanya terpahat pada sanubari saya. Saya berasa peristiwa mencari keris lama ini merupakan peristiwa yang mengubah hidup saya sewaktu saya menutup keratan akhbar dua puluh tahun lalu yang masih tersimpan di dalam album khas. Kini, saya sudah bergelar pengkaji sejarah negara. Tanggungjawab ini akan saya teruskan. Saya terus melabuhkan badan di katil untuk berehat kerana esok ada lagi bahan sejarah dari dasar laut perlu dibongkarkan pula.

xx




Anda mungkin meminati juga:



Ucapan Untuk Hari Guru

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis dan baca.

Terima kasih kepada Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Pengetua, Puan Anelyza, Naib Puan Pengetua, barisan pendidik yang amat dihormati, serta para pelajar yang dikasihi. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan "Selamat Hari Guru" kepada barisan pendidik pada hari ini yang amat istimewa.

Sajak indah karya Usman Awang ini sering kali kita dengar, terutama pada setiap 16 Mei, ketika seluruh negara meraikan Hari Guru. Guru merupakan insan yang mulia kerana bertanggungjawab untuk mendidik para anak bangsa. Mereka berperanan untuk membentuk sahsiah yang positif dalam sanubari para pelajar agar membesar menjadi individu yang berwawasan dan bermutu. Jasa mereka tidak terperi. Jika tiada guru, kita tidak akan dapat megecapi apa-apa yang kita peroleh sekarang.

Hadirin sekalian,

Guru ialah insan yang mengharapkan agar anak muridnya dapat berjaya dalam pelajaran dan turut berkongsi kegembiraan mereka. Walaupun guru telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, mereka tidak pernah merungut atau menginginkan sebarang balasan. Bagi mereka, mengajar merupakan tanggungjawab yang mulia dan kejayaan para pelajar ialah balasan yang paling manis untuk mereka. Guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri demi menyuluhi orang lain.

Mendekati dan seterusnya menjadi pelajar kesayangan guru merupakan 'seni' yang perlu dibentuk untu menjadi pelajar yang cemerlang. Contohnya, Muhammad Syafiq Affandi, pelajar yang mendapat 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004, mendedahkan bahawa rahsia kejayaan adalah disebabkan dia menghormati dan menyayangi gurunya. Sementara itu, Nur Syuhadah, pelajar cemerlang SPM pada tahun 2009 menegaskan bahawa komitmen guru dalam menyampaikan kepakaran masing-masing telah banyak membantunya.

Lantas, kami sebagai anak murid wajar mengambil langkah untuk menonjolkan penghargaan terhadap guru. Menghormati guru ialah cara utama. Para pelajar patut mengucapkan salam apabila bertemu, menolong guru semasa guru meminta pertolongan, memberikan tumpuan semasa guru mengajar dan rajin bertanya. Janganlah sakiti hati guru dengan perlakuan negatif. Buktikan kepada mereka bahawa kami pelajar yang mempunyai minda kelas pertama dan hati yang bersih!

Hadirin yang saya muliakan,

Akhir sekali, saya mewakili semua murid mengucapkan Selamat Hari Guru kepada barisan pendidik yang dikasihi. Terima kasih kerana sudi mencurahkan ilmu kepada kami dan menjadi ibu bapa kedua yang menyayangi kami bak menatang minyak yang penuh. Kami juga berjanji tidak akan ingkar akan segala tunjuk ajar guru mahupun melupakan jasa yang telah disumbangkan seperti kacang lupakan kulit. Guru merupakan insan yang amat setia dalam mencorakkan kehidupan kita. Sekian, terima kasih.


xx




Anda mungkin meminati juga:




Friday 15 May 2015

Nilai murni sangat penting untuk diterapkan dalam diri setiap murid. Bincangkan pernyataan di atas.

Dalam menempuh millennium yang sarat dengan cabaran globalisasi, insan yang kamil dan mempunyai nilai-nilai murni amat penting untuk membangunkan negara. Lebih penting lagi, "darah setampuk pinang", inilah yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara. Nilai-nilai murni vital diterapkan dalam sanubari setiap murid untuk mewujudkan minda kelas pertama dalam kalangan murid. Lantas, langkah-langkah pragmatik harus dilaksanakan untuk menjadikan nilai murni sebagai pedoman setiap murid.

Nilai murni dapat membentuk sahsiah positif dalam diri pelajar. Hal ini demikian kerana semua nilai murni di dunia perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Hal ini dapat melahirkan jati diri murid supaya berakhlak mulia. Murid sebegini senang didampingi, malah dapat meraih rasa hormat daripada masyarakat sekeliling. Mereka pasti tidak mudah terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata.

Murid yang bernilai murni senantiasa berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja yang bermasalah. Hal ini disebabkan murid sebegini mempunyai sikap mahmudah dan nilai keinsanan yang syumul. Dia dapat membezakan perkara yang mulia daripada perkara yang buruk. Bak kata pepatah "Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan".

Selain itu, murid dapat meneladani nilai menghargai masa dan berusaha menggunakan setiap detik dan waktu dengan sebaiknya agar diisi dengan perkara yang bermanfaat serta berfaedah kerana bak kata pepatah, masa itu emas. Murid akan memahatkan nilai masa dalam sanubari mereka dan tidak menghabiskan waktu dengan sia-sia kerana memahami "masa depan itu dibeli oleh masa sekarang" seperti mana yang diungkapkan oleh Samuel Johnson.


Seterusnya, nilai menyayangi negara dapat melahirkan insan yang mempunyai semangat patriotik. Mereka akan menghargai jasa tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa. Mereka tidak akan bersikap seperti kacang lupakan kulit. Murid yang kamil dapat menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi menyahut slogan "1 Malaysia". Nilai-nilai yang berharga akan menjadi iktibar dalam kehidupan mereka supaya saling membantu bak aur dengan tebing. Semangat ini bertepatan dengan peribahasa "bersatu teguh, bercerai roboh".

Lagipun, murid-murid yang berpegang teguh pada nilai bercita-cita tinggi sentiasa gigih untuk menggapai menara impian. Cecil B. Demile pernah "Orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang". Murid yang mempunyai semangat kental dapat mengikis budaya pesimistik dan culas demi mencapai kejayaan kerana sedar bahawa "cita-cita membawa manusia ke gerbang kemuliaan, angan-angan membawa manusia terjerumus ke lembah kehinaan."

Akhir kata, nilai murni merupakan asas pembentukan murid yang dapat membesar menjadi insan yang berilmiah tinggi dan berkualiti. Pihak sekolah harus menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mengajar pendidikan moral dan sivik agar mampu menerapkan nilai-nilai tersebut. Bersama-sama kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk mewujudkan generasi baru yang cemerlang, gemilang dan terbilang seiring dengan aspirasi mencapai Wawasan 2020. Imam Al- Bukhari pernah berbicara “Jika kamu ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan muda yang ada sekarang.”


xx




Anda mungkin meminati juga:





Thursday 14 May 2015

Kebaikan Internet Kepada Masyarakat

Pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa limitasi ini, internet merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dunia tanpa sempadan dimungkinkan dengan adanya jaringan internet ini. Internet mendatangkan manfaat kepada masyarakat tanpa mengira umur. Keadaan ini menyebabkan kita seolah-olah bergantung kepada internet untuk menguruskan hal ehwal seharian. Lantas, marilah kita mengkaji kebaikan internet kepada semua lapisan masyarakat untuk melestarikan manfaat tersebut sepenuhnya.

Melalui internet, kita dapat menelaah pelbagai isu semasa di dunia. Kita tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung. Maka, dengan menekan papan kekunci, kita dapat menambahkan pengetahuan am dan menjadi insan yang berilmu. Misalnya dengan adanya Isu semasa Dunia BBC dan Berita Harian di laman sesawang internet, kita dapat mengkaji isu semasa di dunia.

Selain itu, sebagai seorang pelajar, kita dapat memperoleh apa-apa maklumat yang diingini dengan menggunakan enjin carian "google", "yahoo" dan sebagainya tanpa perlu bersusah untuk pergi ke perpustakaan. Pelajar juga boleh memuat turut buku elektronik secara percuma. Maka, melalui Dana 1 Malaysia, kerajaan telah berjaya mengedarkan kira-kira 500000 unit 'netbook' kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia, denga inisiatif dapat memanfaatkan teknologi di dunia dalam proses pembelajaran di samping meningkatkan kadar celik IT di kalangan pelajar.

Seterusnya, kemudahan internet membuka ruang untuk kita mengeratkan hubungan dengan insan tersayang walaupun berada di luar negara. Dengan menggunakan aplikasi berbual secara talian seperti "skype", "yahoo messenger" dan sebagainya, kita mampu berhubung dengan keluarga dan tidak menjadikan jarak beribu batu sebagai alasan untuk merenggangkan hubungan bagai isi dengan kuku. Perkembangan teknologi perhubungan yang menggunakan internet sebagai medium penggerak utama bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan dapat membawa kesan yang positif.

Internet juga memudahkan urusan menjelaskan yuran bil elektrik dan air. Melalui internet, kita boleh mengakses terus ke akaun bank dan membuat pembayaran secara talian, dengan hanya berada di depan komputer dan tidak lagi perlu bersusah payah beratur untuk membayar bil-bil tersebut. Untuk pelajar, mereka dapat mengisi barang-barang biasiswa secara talian dengan menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan mahupun badan swasta.

Tuntasnya, internet mampu membawa kebaikan yang banyak kepada masyarakat kita jika digunakan dengan sebaik-baiknya. Imam Al-Bukhari pernah mengungkapkan "Ilmu itu ibarat benih yang tumbuh mekar jika dibajai dengan baik." Ibu bapa haruslah memantau anak mereka semasa melayari internet supaya tidak terjerumus ke dalam lembah kejahatan. Semua pihak harus menggembleng tenaga untuk memperbanyak Pusat Jalur Lebar terutamanya di kawasan pedalaman supaya masyarakat di sana dapat menikmati kebaikan internet juga. Maka, slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" dapat diimplimentasikan dan dilestarikan untuk mewujudkan negara yang celik teknologi seiring dengan Wawasan 2020.


xx




Anda mungkin meminati juga:





Wednesday 13 May 2015

Impian Saya dan usaha yang akan saya lakukan untuk mencapainya

Isi 1

Impian saya semasa belajar di sekolah menengah ialah ingin menuntut di universiti terkemuka di luar negara. Misalnya, Universiti Cambridge di London. Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran sekaligus mengambil PHD. Untuk mencapai impian tersebut, usaha mapan akan dilakukan seperti belajar bersungguh-sungguh semasa di sekolah. Saya akan sentiasa menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar dan tidak ponteng sekolah. Selain itu, saya akan menghadiri kursus motivasi dan bengkel kecemerlangan. Akhir sekali, saya akan belajar secara berkumpulan dan rajin bertanya. Cecil B DeMile pernah berkata" Orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang."

Isi 2

Selepas menuntut di universiti yang diidami, saya mempunyai impian untuk memiliki kerjaya yang mantap. Saya ingin bekerja dalam bidang profesionalisme. Dengan pekerjaan yang baik, saya akan mendapat pendapatan yang lumayan. Untuk mencapai impian tersebut, saya akan berusaha mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan saya. Saya akan terus berusaha tanpa menyerah kalah. Saya juga akan mengikuti kursus bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, kursus komputer dan bahasa Melayu. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda," Tuntutlah ilmu sehingga negara China." Sebegitu juga Albert Einstein yang mengungkapkan,"Semakin banyak ilmu yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui."

Isi 3

Impian yang seterusnya, saya ingin memiliki aset sendiri. Saya berharap untuk membeli sebuah rumah banglo dan memiliki sebuah kereta mewah. Untuk merealisasikan aspirasi itu, saya akan membanting tulang dan berusaha keras dalam alam pekerjaan. Di samping itu, saya akan menjalankan sebuah perniagaan bagi meningkatkan sumber pendapatan. Saya juga akan membuat pelaburan. Hamka pernah berkata "Cita-cita membawa manusia ke gerbang kemuliaan, angan-angan membawa manusia terjerumus ke lembah kehinaan."

Isi 4

Impian saya yang terakhir ialah membalas jasa ibu bapa saya dan membina keluarga yang bahagia. Saya ingin membalas jasa ibu bapa saya kerana menjadi benteng pertahanan dan pendorong kejayaan saya. Tanpa kasih sayang bak menatang minyak yang penuh, saya tidak mungkin berjaya. Setelah saya dewasa juga, saya ingin membina keluarga bahagia dan mendidik anak-anak saya dengan sifat-sifat yang boleh dijadikan pedoman dalam hidup. Lantas, bermula sekarang, saya akan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan keluarga. Saya juga akan meluangkan masa untuk keluarga saya.


xx




Anda mungkin meminati juga:

Punca-punca keruntuhan akhlak remaja (Isi)

Antara punca keruntuhan akhlak remaja termasuklah masalah institusi keluarga. Keluarga merupakan benteng pertahanan kita sama ada dari segi mental mahupun dari segi fizikal. Kita dilindungi daripada masalah dan pancaroba di dunia luar. Namun, sekiranya remaja kehausan kasih sayang daripada ibu bapa, mereka mungkin melakukan gejala sosial untuk menarik perhatian mereka. Misalnya, gengsterisme, vandelisme dan lain-lain. Tidak mustahilah banyak remaja yang terjebak dengan gejala sosial datang daripada keluarga yang kurang sempurna.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyumbang ke arah gejala sosial . Rakan sebaya mengambil alih tanggungjawab ibu bapa kita semasa di luar. Rakan yang berpengaruh baik mampu membentuk sahsiah yang positif dalam diri remaja. Namun, rakan yang bersikap negatif akan mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan mereka seperti "api yang mampu membinasakan kehidupan". Rakan sebegini mencabar remaja untuk melanggar peraturan sekolah dan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam lembah kejahatan. Lantas, remaja itu akan mempunyai masa hadapan yang gelap kerana telah diracuni dengan niat yang salah.

Seterusnya, pengaruh media massa turut mengundang isu sosial dalam kalangan remaja. Dalam menempuh era globalisasi yang sarat dengan alat teknologi yang semakin dengan pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan, remaja telah dipengaruhi oleh media massa cetak dan elektronik. Terdapat segelintir remaja yang kurang berfikiran matang menyalahgunakan internet dan dipengaruhi oleh paparan laman web yang kurang sihat. Contohnya, aksi-aksi keganasan, kelucahan dan sebagainya. Melalui media massa cetak yang penuh dengan hegemoni barat yang semakin menular dalam masyarakat kita, remaja suka meniru tabiat idola mereka yang kadang-kala menonjolkan gaya yang membinasakan nilai murni yang dipupuk dalam sanubari mereka sejak bangku sekolah. Akhirnya, remaja akan melakukan aktiviti yang menimbulkan ketidaktenteraman dalam masyarakat seperti pergaulan seks bebas, lari dari rumah, menagih dadah dan lain-lain. Bak kata pepatah, nila setitik rosak susu sebelanga. Masyarakat kita turut dianggap berminda kelas ketiga dan negara tidak aman.

Akhir sekali, tekanan di sekolah juga merupakan punca dominan masalah sosial dalam kalangan remaja. Tatkala remaja diberikan terlalu banyak kerja rumah atau tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan, mereka mudah mencari kaedah untuk melepaskan kemarahan dan tekanan mereka. Misalnya, menghisap dadah, ponteng sekolah, melakukan vandelisme dan lain-lain. Mereka mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan asyik menggunakan jalan belakang untuk menyelesaikan masalah di sekolah. Terdapat remaja juga yang membuli pelajar lain kerana tertekan. Jelaslah bahawa tekanan emosi yang dialami remaja mendorong mereka untuk terjebak dalam kancah negatif.



xx




Anda mungkin meminati juga: