Wednesday 3 June 2015

Penggunaan Pengangkutan Awam

Pada era pascakemerdekaan ini, rakyat Malaysia mula hidup dalam kecanggihan infrastruktur. Pembangunan pesat dalam aspek pengangkutan selari dalam usaha merealisasikan cabaran visi Wawasan 2020. Namun demikian, terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengambil endah untuk memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada.

Masyarakat madani negara kita perlu mengikis sikap mereka seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita perlu menggunakan kemudahan pengangkutan awam sebaik-baiknya. Persoalannya, apakah prakarsa pragmatik yang mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam?

Agensi pengangkutan awam perlu menawarkan pakej pengangkutan dengan kos berpatutan supaya rakyat lebih berminat untuk menikmati menggunakan pengangkutan mereka seperti bas awam dan teksi. Agensi pengangkutan awam juga boleh berganding bahu bersama-sama agensi perlancongan. Oleh hal yang demikian, melalui penawaran harga berpatutan daripada agensi pengangkutan dan perlancongan, kedua-dua agensi ini menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan meningkatkan ekonomi negara.

Media massa merupakan wahana yang paling efektif untuk menarik perhatian masyarakat terhadap sesuatu perkara. Media massa tidak kiralah elektronik mahupun cetak boleh menguar-uarkan kempen kesedaran penggunaan pengangkutan awam kepada rakyat dengan efesien. Pihak kerajaan dan pihak berkuasa juga boleh menjayakan lagi kempen ini dengan menganjurkan majlis "turun padang" bersama-sama rakyat supaya kesedaran dapat disemai dalam kalbu masyarakat. Hal ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama-sama pihak kerajaan bersetuju untuk menjalankan projek pembinaan "MRT" supaya negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, apabila sistem pengangkutan negara kita dibandingkan dengan kemajuan pesat sistem pengangkutan awam seperti di Hong Kong dan Singapura.

Di negara-negara lain, penggunaan pengangkutan awam menjadi keperluan kerana kecekapan sistem tersebut yang lebih baik dan murah serta dapat sampai ke destinasi dalam masa yang singkat tanpa kesesakan lalu lintas. Jelaslah, hal ini menarik minat masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam yang sedia ada seperti kereta api aliran ringan (LRT) yang laju, murah dan menjimatkan masa.

Selain itu, pihak pengurusan juga haruslah meningkatkan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam seperti perhentian bas, tempat duduk dalam kenderaan, dan gerabak asing untuk penumpang wanita. Kebersihan dan kemudahan tersebut dapat menjamin suasana kondusif untuk para pengguna. Di samping itu, pihak pengurusan juga harus melantik pemandu pengangkutan yang bertanggungjawab dan berhemat selain mengemaskinikan dan memantapkan jadual bertugas. Oleh itu, ramai orang akan cenderung untuk menggunakan pengangkutan awam.

Tuntasnya, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding usaha agar orang ramai memanfaatkan pengangkutan awam dan mengubah persepsi buruk terhadap pengangkutan. Bak kata pepatah "hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih". Jika semua lapisan masyarakat dapat menggunakan pengangkutan awam sebaik-baikny, kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menjimatkan wang yang banyak. Maka, negara kita dapat terus maju dan berkembang menjadi negara yang pesat seperti Hong Kong, Jepun dan lain-lain.


xx




Anda mungkin meminati juga:

Monday 1 June 2015

Pendermaan Organ: Anugerah Kehidupan

Saban tahun, bilangan pesakit kronik yang memerlukan organ sihat semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, ramai yang tidak sanggup berbuat begitu kerana bimbang akan mendatangkan kemudaratan dan kecacatan pada jenazah dan diri mereka. Meskipun kematian merupakan satu kepastian yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia, namun nyawa juga merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Lantas, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memberikan kehidupan yang baru kepada mereka yang memerlukannya. Mark Twain pernah mengungkapkan "Sentiasalah melakukan yang baik kerana akan menggembirakan sebahagian orang dan mengagumkan yang selebihnya."

Langkah pragmatik untuk merealisasikan aspirasi ini ialah mendaftarkan diri kepada Daftar Penderma Organ Nasional. Selepas meninggal dunia, doktor yang bertauliah akan menjalankan proses pemindahan atau transplantasi organ kepada orang lain yang memerlukannya kerana kegagalan organ tersebut. Selepas transplantasi organ, kehidupan orang itu akan lebih sempurna dan selesa. Maka, usaha ini mampu mengembalikan tahap kesihatan mereka untuk terus berkhidmat kepada negara mengikut kepakaran masing-masing. Ralph Waldo Emerson pernah berkata "kesihatan ialah gambaran dan petunjuk pada kegembiraan."

Darah setampuk pinang, Tee Hui Yee merupakan seorang pesakit jantung yang menerima dermaan jantung daripada remaja yang lain. Dalam tirai hatinya, dia bersyukur kerana telah diberikan kehidupan yang baru dan berjanji akan menghargai peluang ini dengan berusaha untuk menggapai menara impiannya dalam kehidupan. Maka, dia berharap dapat membesar menjadi individu yang berwawasan, mempunyai nilai keinsanan yang syumul dan dapat berjasa kepada negara, serta tidak bersikap seperti "kacang lupakan kulit". Kisah ini ialah cebisan kisah gembira di sebalik lautan duta.

Tuntasnya, kita haruslah membebaskan minda daripada dibelenggu dan dicengkam oleh kebimbangan menderma organ. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. Pendermaan organ yang sihat menjamin kesinambungan dan kesejahteraan hidup orang lain. Ingatlah bahawa hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan. Akhir kata, pendermaan organ merupakan anugerah kehidupan yang tidak ternilai.




xx




Anda mungkin meminati juga: