Friday 29 May 2015

Surat 1 Malaysia

2, Jalan Happy,
Taman Ceria,
51000, Kuala Lumpur.

23 Jun 2013

Menemui Perdana Menteri Yang Berhormat Dato' Sri Najib Tun Razak,

Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Yang Berhormat untuk membaca utusan surat saya meskipun terdapat urusan hal ehwal yang bertimbun-timbun. Saya bernama Siti Nurhaliza. Saya merupakan seorang murid yang beraspirasi tinggi untuk menjadi individu yang berilmiah dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul agar dapat berjasa kepada negara pada masa akan datang. Terdapat beberapa sebab saya menyayangi negara Malaysia.

Pertamanya, kita tidak dibelenggu oleh masalah kekacauan atau pergolakan politik. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara ke-9 paling aman di dunia. Hal ini disebabkan perpaduan kaum yang tidak dipandang enteng oleh setiap lapisan masyarakat. Perpaduan kaum dianggap sebagai elemen vital oleh semua untuk mengekalkan kedaulatan negara kerana bak kata pepatah "bersatu teguh bercerai roboh". 

Selain itu, meskipun rakyat Malaysia berbilang bangsa, kita mampu menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Semasa menghadiri majlis perayaan seperti rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, kita boleh mengenali adat resam kaum lain dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap saling menghormati. Maka, slogan 1 Malaysia menjadi iktibar dan pedoman kepada kita supaya saling membantu bak "aur dengan tebing".

Saya bangga kerana rakyat Malaysia juga mempunyai semangat patriotik yang berkobar-kobar. Kita menghargai tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai negara yang disanjungi di persada antarabangsa dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit. George Bernard Shaw pernah mengungkapkan "Patriotisme ialah keyakinan anda bahawa negara ini lebih hebat daripada semua negara lain sebab anda lahir di sini."

Negara Malaysia merupakan tempat saya dilahirkan, dibesarkan dan kemungkinan dikebumikan. Saya berdoa agar negara tercinta saya akan terus maju dan menjadi termasyhur di seluruh pelosok dunia. Seterusnya, aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 dapat digapai dan digenggam erat. Setakat ini cetusan minda. Sekian, salam Satu Malaysia.


Yang Benar,

Siti Nurhaliza

(SITI NURHALIZA)


xx




Anda mungkin meminati juga:


No comments:

Post a Comment