Sunday 24 May 2015

Industri Sukan Menjanakan Ekonomi

Senario industri sukan tanah air kini mengalami perkembangan yang pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Perkembangan tersebut diukur daripada prestasi atlet, kemudahan infrastruktur sukan yang baik dan gelombang kebangkitan padu peminat sukan tanah air pada tahap yang tinggi. Persoalannya, bagaimanakah industri sukan dapat menjanakan ekonomi negara kita?

Banyak inisiatif yang dirangka oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi memartabatkan sukan negara ke peringkat global. Stadium Bukit Jalil diangkat sebagai "Bandar Sukan" bertujuan untuk memajukan industri sukan serta menjanakan pendapatan negara. Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Sri Shaberi Chik, berkata bahawa pada tahun 2009 sahaja industri sukan telah menyumbangkan lima peratus pendapatan negara kasar (KNK), iaitu RM 30.2 billion. Malah, industri sukan negara telah dipilih daripada 12 bidang ekonomi utama (NKEA) oleh kerajaan.

Seperti yang diketahui umum, kebangkitan bola sepak "Harimau Melaya" telah membantu menjanakan pendapatan negara melalui penjualan jersi kebangsaan. Begitu juga melalui jualan tiket semasa kedatangan kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Malaysia.

Kutipan terbanyak adalah ketika Harimau Malaya beraksi di Stadium Bukit Jalil yang memuatkan kapasiti 80 ribu penonton yang penuh sesak. Gambaran ini ialah imbasan kejayaan Malaysia menjuarai piala AFC SUZUKI pada tahun 2010. Kebangkitan penyokong setia sebeginilah banyak membantu industri sukan negara agar berkembang pesat.

Demi meninggikan imej sukan di mata rakyat Malaysia dan mengangkat ekonomi negara, FAM telah berani merangka strategi. Contohnya, FAM memberikan peluang kepada penyerang berbisa negara, Safee Sali, menyertai Pelita Jaya demi menajamkan permainan serta memantapkan pengalaman beliau. Kita harus berbangga kerana Liga Malaysia (M-LEAGUE) dianggap setanding dengan liga bola sepak di sekitar Asia Tenggara.

Sokongan moral peminat tanah air merupakan motivasi ikhlas kepada semua atlet dalam pelbagai jenis sukan. Semangat patriotik dengan menyarung jersi kebangsaan dan mengibarkan Jalur Gemilang harus ditebus dengan menggandakan kejayaan sebagai hadiah untuk peminat. Hal ini juga dapat dijadikan penanda aras dalam menjanakan ekonomi negara melalui industri sukan yang rancak membangun. Secara tidak langsung, negara Malaysia mampu mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa.



xx




Anda mungkin meminati juga:





No comments:

Post a Comment