Monday 14 March 2016

Punca-punca berlakunya gejala rasuah dan cara membanterasnya


Rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapat sesuatu dengan mudah dan cepat tetapi salah di sisi undang-undang negara. Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini dan menjadi buah mulut media massa. Media massa selalu menyiarkan pelbagai kes rasuah yang melibatkan pegawai berprofil tinggi sebagai bukti isu ini semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.  Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia berada pada tangga ke 50 daripada 175 buah negara pada tahun 2014. Senario ini amat menggemparkan kerana gejala rasuah akan mencemarkan nama baik negara kita. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan gejala rasuah berlaku dan bagaimana kita patut menangani isu ini? Saya akan rangkaikan satu demi satu.

Antara punca berlakunya gejala rasuah termasuklah kurangnya didikan agama dan moral. Semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Didikan agama dan moral merupakan pedoman dan panduan kita semasa menempuh belantara kehidupan. Namun demikian, seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat mudah terpengaruh dengan dunia hedonistik yang mementingkan aspek kebendaan semata-mata. Mereka akan leka mengejar kekayaan dan mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan dengan mengambil rasuah untuk memenuhi fatamorgana diri sendiri. Individu sebegini sudah kehilangan prinsip asas dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Jelaslah bahawa anutan agama dan moral yang kurang mantap akan menyebabkan seseorang melibatkan diri dalam gejala rasuah.

Punca lain yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutamanya aspek pemberian tender, kontrak dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk mengaut keuntungan dengan memberikan rasuah. Lagipun, ketiadaan sistem permantauan berkesan yang bak melepaskan batuk di tangga menyebabkan ramai pekerja awam yang terangsang untuk melakukan jenayah ini. Maka, wabak sosial ini telah menular dalam masyarakat kita sehingga dianggap sebagai asam garam kehidupan dan merupakan kebiasaan di negara kita. Persepsi demikian menyebabkan jumlah kes rasuah melambung tinggi dan menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.

Seperkara lagi, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dalam sistem perundangan 
negara kita turut menyumbang kepada penularan gejala rasuah dalam negara kita. 
Tindakan mahkamah yang menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah menimbulkan pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman negara kita untuk menangani isu ini. Hukuman ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana sedar bahawa mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang diambil setelah keluar dari penjara. Terdapat juga anggapan rakyat bahawa masih ada pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi tidak dibawa ke muka pengadilan. Hal ini telah mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk menangani isu ini. Sesungguhnya, kekurangan ketegasan sistem kehakiman kita dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah merupakan antara penyumbang utama kepada kejadian jenayah rasuah di negara kita. 


Untuk menangani isu rasuah dari akar umbi, ibu bapa dan barisan pendidik memainkan peranan yang signifikan dalam menyemai nilai murni pada sanubari anak. Sejak usia muda, anak-anak perlu dididik tentang keburukan mengambil rasuah kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa perlulah menjadi entiti mithali dan teladan baik dengan bersikap jujur dan menjauhi amalan rasuah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang melakukan jenayah rasuah dan cuba menasihati anak-anak mereka untuk menjauhi gejala tersebut ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan dan nasihat mereka akan bagai mencurah air ke daun keladi. Di sekolah, pengajaran pendidikan agama dan moral perlu diberikan tekanan. Barisan pendidik boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah dengan anak murid sebagai iktibar supaya tidak melakukan jenayah rasuah dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya, kerjasama daripada ibu bapa dan barisan pendidik mampu melahirkan anak bangsa yang berpegang kuat pada prinsip mereka dan menjauhi amalan rasuah.

Pihak kerajaan boleh membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut sosial ini dengan menguatkuasakan undang-undang negara kita. Sistem kehakiman negara kita perlulah diperketat dan pesalah-pesalah rasuah mestilah ditahan, didakwa dan dihukum tanpa mengira kedudukan mereka. Hukuman tegas perlu dijatuhkan pada pesalah rasuah sebagai amaran kepada orang lain agar tidak melakukan jenayah tersebut kerana bak kata pepatah, harimau ditakuti disebabkan giginya. Kesungguhan kerajaan dalam membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan juga memberikan satu peringatan yang kekal terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung badan. Jelaslah bahawa tindakan tegas terhadap semua pengamal rasuah tanpa memilih bulu akan mendorong masyarakat kita supaya menjauhi jenayah tersebut.

Di samping itu, media massa turut memainkan peranan vital dalam menimbulkan kesedaran dalam lapisan masyarakat tentang keburukan dan implikasi mengambil rasuah. Pihak kerajaan seharusnya melancarkan kempen iklan yang efektif dengan menggunakan media massa secara holistik, iaitu akhbar hingga ke internet untuk memastikan setiap lapisan masyarakat didedahkan kepada kempen tersebut. Kempen ini bertujuan untuk memberikan amaran dan peringatan kepada setiap individu tentang hukuman yang akan dihadapi jika mengambil rasuah. Justeru, masyarakat akan berfikir dua kali sebelum menerima rasuah dan senario ini akan mengurangkan kes rasuah dengan signfikan. Sudah terang lagi bersuluh, dalam menempuh arus globalisasi ini media massa merupakan senjata yang efektif dalam  membanteras jenayah rasuah di negara kita. 

Konklusinya, rasuah merupakan wabak sosial yang mestilah dibanteras hingga ke akar umbi. Semua pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mengatasi gejala rasuah di negara kita. Jika setiap individu memainkan peranan dengan mengelakkan diri daripada mengambil rasuah, pastilah masalah ini dapat ditangani kerana bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka, tindakan saksama yang dikenakan terhadap pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan juga dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Lantas, negara kita dapat terus maju dan muncul sebagai negara kelas pertama di pentas dunia. 


Anda mungkin meminati juga:




13 comments:

  1. Replies
    1. terima kasih banyak-banyak,semoga berjaya dunia akhirat

      Delete
  2. terima kasih sangat membantu saya dalam menghadapi spm 2017 isnin ni.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih. Karangan yang sangat bagus.

    ReplyDelete
  4. TERBAIK.
    MOHON IZIN DAN KEBENARAN UNTUK SAYA GUNAKAN KARANGAN INI BAGI KEGUNAAN SAYA DAN PELAJAR SAYA.
    TERIMA KASIH...

    ReplyDelete
  5. As reported by Stanford Medical, It is really the one and ONLY reason this country's women live 10 years longer and weigh an average of 42 lbs lighter than we do.

    (And realistically, it is not about genetics or some secret diet and EVERYTHING related to "how" they are eating.)

    BTW, What I said is "HOW", not "what"...

    CLICK this link to find out if this brief quiz can help you release your real weight loss potential

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. your essay so fantastic and neet

    ReplyDelete