Monday 18 May 2015

Ucapan Untuk Hari Guru

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis dan baca.

Terima kasih kepada Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Pengetua, Puan Anelyza, Naib Puan Pengetua, barisan pendidik yang amat dihormati, serta para pelajar yang dikasihi. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan "Selamat Hari Guru" kepada barisan pendidik pada hari ini yang amat istimewa.

Sajak indah karya Usman Awang ini sering kali kita dengar, terutama pada setiap 16 Mei, ketika seluruh negara meraikan Hari Guru. Guru merupakan insan yang mulia kerana bertanggungjawab untuk mendidik para anak bangsa. Mereka berperanan untuk membentuk sahsiah yang positif dalam sanubari para pelajar agar membesar menjadi individu yang berwawasan dan bermutu. Jasa mereka tidak terperi. Jika tiada guru, kita tidak akan dapat megecapi apa-apa yang kita peroleh sekarang.

Hadirin sekalian,

Guru ialah insan yang mengharapkan agar anak muridnya dapat berjaya dalam pelajaran dan turut berkongsi kegembiraan mereka. Walaupun guru telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, mereka tidak pernah merungut atau menginginkan sebarang balasan. Bagi mereka, mengajar merupakan tanggungjawab yang mulia dan kejayaan para pelajar ialah balasan yang paling manis untuk mereka. Guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri demi menyuluhi orang lain.

Mendekati dan seterusnya menjadi pelajar kesayangan guru merupakan 'seni' yang perlu dibentuk untu menjadi pelajar yang cemerlang. Contohnya, Muhammad Syafiq Affandi, pelajar yang mendapat 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004, mendedahkan bahawa rahsia kejayaan adalah disebabkan dia menghormati dan menyayangi gurunya. Sementara itu, Nur Syuhadah, pelajar cemerlang SPM pada tahun 2009 menegaskan bahawa komitmen guru dalam menyampaikan kepakaran masing-masing telah banyak membantunya.

Lantas, kami sebagai anak murid wajar mengambil langkah untuk menonjolkan penghargaan terhadap guru. Menghormati guru ialah cara utama. Para pelajar patut mengucapkan salam apabila bertemu, menolong guru semasa guru meminta pertolongan, memberikan tumpuan semasa guru mengajar dan rajin bertanya. Janganlah sakiti hati guru dengan perlakuan negatif. Buktikan kepada mereka bahawa kami pelajar yang mempunyai minda kelas pertama dan hati yang bersih!

Hadirin yang saya muliakan,

Akhir sekali, saya mewakili semua murid mengucapkan Selamat Hari Guru kepada barisan pendidik yang dikasihi. Terima kasih kerana sudi mencurahkan ilmu kepada kami dan menjadi ibu bapa kedua yang menyayangi kami bak menatang minyak yang penuh. Kami juga berjanji tidak akan ingkar akan segala tunjuk ajar guru mahupun melupakan jasa yang telah disumbangkan seperti kacang lupakan kulit. Guru merupakan insan yang amat setia dalam mencorakkan kehidupan kita. Sekian, terima kasih.


xx




Anda mungkin meminati juga:




1 comment: