Tuesday 19 May 2015

Syarahan: Kebaikan makan buah-buahan tempatan

Terima kasih kepada tuan pengerusi, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, yang berbahagia puan pengetua sekolah, barisan pendidik yang dihormati dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Berdirinya saya pada pagi yang ceria ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bermauduk "kebaikan makan buah-buahan tempatan".

Hadirin sekalian,

Setiap negara di dunia mempunyai buah-buahan yang digemari dan terkenal dalam kalangan masyarakat masing-masing. Contohnya buah kiwi yang popular di New Zealand, buah kelapa yang termashyur di Filipina dan lain-lain yang seumpamanya. Begitu juga buah-buahan tempatan di negara kita. Antaranya buah rambutan, buah durian, buah manggis dan sebagainya. Kebaikan buah-buahan tempatan ini membawa pengertian akan faedah atau manfaat tentang buah-buahan tempatan yang ada di negara kita terhadap kesihatan diri, nilai ekonomi dan simbol kebudayaan masyarakat Malaysia.

Buah-buahan di Malaysia mengandungi banyak khasiat seperti vitamin, zat besi, mineral dan lain-lain. Khasiat-khasiat ini akan membantu kesihatan badan kita untuk meningkatkan tenaga pada tubuh badan, mengawal dan mengurangkan serangan penyakit serta meningkatkan ketahanan diri. Misalnya pisang yang boleh meningkatkan pencernaan perut, buah jambu yang meningkatkan antibodi badan dan menyegarkan tubuh badan kita dan buah manggis juga yang dapat meningkatkan sel-sel badan.

Para hadirin,

Selain itu, buah-buahan tempatan digunakan untuk perniagaan dan perusahaan. Contohnya peniaga dari industri kecil dan sederhana akan menjadikan perniagaan buah-buahan tempatan sebagai mata pencarian bahkan sudah ada peniaga yang berjaya. Jika kita membeli buah-buahan tempatan, kita dapat membangunkan industri perniagaan buah-buahan tempatan. Dengan ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara. Ekonomi negara kita akan berkembang dengan pesat. Dengan dibantu oleh dasar ekonomi kerajaan yang menggalakkan, peniaga-peniaga IKS menceburi bidang ini dengan lebih luas. Dengan memberikan pinjaman perniagaan, peluang-peluang untuk memasarkan buah-buahan tempatan lebih terbuka. Oleh itu, buah-buahan tempatan ini mampu dikomersialkan dengan lebih kreatif dan dinamik. Contohnya boleh dijadikan jus buah-buahan, kek, jus makanan dan lain-lain lagi.

Salah satu faktor Malaysia dikenali di mata dunia adalah disebabkan buah-buahan tempatan yang sedap dan berkhasiat kerana Malaysia terletak di iklim khatulistiwa yang memudahkan pelbagai jenis buah-buahan ditanam. Faedahnya, masyarakat di dunia mampu mengenali Malaysia kerana buah-buahan itu sebagai identiti kebudayaan warga Malaysia. Contohnya, pokok pisang dan buahnya yang digunakan untuk majlis perkahwinan dalam masyarakat India. Dengan cara ini, mereka dapat memahami dan menghargai buah-buahan tempatan sebagai simbol budaya di Malaysia.

Hadirin budiman,

Secara tuntasnya, kebaikan buah-buahan tempatan tidak boleh dinafikan dalam memberikan faedah yang pelbagai kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, saya menyeru agar hadirin dapat menghargai buah-buahan tempatan negara kita. Sekian, terima kasih.


xx




Anda mungkin meminati juga:



2 comments: