Thursday 28 May 2015

Surat 1 Malaysia (II)

9,  Taman Seputih
Japan Happy,
51000, Kuala Lumpur.

9 Julai 2013.

Menemui Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato' Sri Najib Tun Razak,

Salam sejahtera saya ucapkan. Semoga Dato' Sri dan keluarga sihat sejahtera dan bahagia selalu. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Yang Amat Berhormat Dato' Sri untuk membaca utusan surat saya meskipun perlu menangani hal ehwal negara yang lebih merumitkan.

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

Nama saya Siti Nurhaliza. Saya tinggl di Taman Seputih sepanjang 14 tahun usia saya. Kawasan ini merupakan tempat saya dibesarkan dan merupakan benteng pertahanan saya daripada pancaroba di dunia.

Dalam menempuh millennium yang sarat dengan cabaran globalisasi, tempat tinggal kita perlu dimajukan dari aspek ekonomi, pendidikan bahkan teknologi. Walaupun "darah setampuk pinang", saya ingin menyumbang buah fikiran dan cetusan minda untuk membangunkan lagi kawasan tempat tinggal tercinta. Saya percaya bahawa proses urbanisasi mampu membangunkan kawasan tempat tinggal saya sehingga membentuk suatu landskap yang moden. Maka, semua penduduk dapat meraih faedah dengan kewujudan kawasan tempat tinggal yang indah dan nyaman.

Sesebuah tempat tinggal yang mempunyai kemudahan prasarana dan sosial yang lengkap dapat mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Melihat dari perspektif pendidikan, pihak-pihak tertentu boleh membina sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi untuk mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berilmiah dan disanjungi. Lokasi-lokasi ini akan mencambahkan lagi diskusi ilmu seperti seminar dan konvensyen. Pihak tertentu juga patut membina gedung ilmu seperti perpustakaan awam yang mengandungi akses internet agar semua orang dapat menimba ilmu dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Saya percaya kemudahan ini dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan ektensif kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Tuntutlah ilmu sehingga negara China."

Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang, saya yakin sains dan teknologi juga perlu dititikberatkan. Internet merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Lantas, wifi percuma perlu disediakan sebagai inisiatif kerajaan untuk memudahkan urusan penduduk setempat. Pembangunan laman portal Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) juga merupakan salah satu langkah untuk mendedahkan komuniti dengan segala maklumat dalam merentas era teknologi ICT. Usaha ini tidak boleh dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga. Kemudahan internet jalur lebar percuma dapat membentuk masyarakat yang berminda saintifik dan moden, mempunyai daya perubahan tinggi dan mampu menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi pada masa depan.

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

Ralph Waldo Emerson pernah mengungkapkan "kesihatan ialah petunjuk pada kegembiraan." Pihak kerajaan juga boleh menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk setempat. Bertepatan dengan gagasan 1 Malaysia " Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", 50 buah klinik 1 Malaysia telah dibina. Klinik 1 Malaysia merupakan sebuah projek klinik yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak. Maka usaha ini dapat diimplimentasikan dengan lebih efektif jika lebih banyak klinik sebegini disediakan di kawasan perumahan di seluruh Malaysia sebagai salah satu bukti kerajaan prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah.

Usaha mengurangkan kadar kegiatan jenayah di kawasan tempat tinggal di bawah agensi-agensi tertentu seperti NKRA, rondaan 1 Malaysia perlu ditingkatkan untuk membanteras jenayah. Kamera-kamera litar bertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Strategi-strategi yang bergantung pada keyakinan dan kerjasama masyarakat untuk mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada masyarakat setempat patut diimplimentasikan. Misalnya, "SRS" merupakan sebahagian tugas kepolisan sebagai suatu tanggungjawab bersama masyarakat dengan membabitkan diri dalam mengurangkan jenayah. Bak kata pepatah, "bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

Akhir sekali, untuk membina masyarakat yang berminda kelas pertama, saya bercadang agar lebih banyak kawasan tempat tinggal dapat menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Rukun Tetangga berfungsi memelihara keharmonian antara penduduk dengan mengadakan aktiviti untuk memupuk hubungan silaturahim antara penduduk demi kemakmuran kawasan kediaman. Bak kata pepatah "hidup sepakat membawa berkat". Misalnya, Rukun Tetangga boleh mengadakan rumah terbuka untuk setiap perayaan dan menganjurkan program seperti bengkel ICT dan program motivasi untuk meningkatkan kualiti komuniti. Hal ini dapat menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik antara penduduk setempat seiring dengan pelestarian slogan 1 Malaysia yang sering diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Semangat kekitaan dan perpaduan unggul antara penduduk juga akan memberikan imej baik di mata pelancong dan mata dunia sekaligus menyumbang ke arah pembangunan sektor pelancongan di negara kita.

Tuntasnya, tempat tinggal yang maju merupakan simbol yang membuktikan kepesatan perkembangan negara kita. Maka, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk membangunkan dan meningkatkan prestasi kawasan perumahan di seluruh pelosok Malaysia. Bersama-sama kita merealisasikan iltizam negara kita untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 sebagai sebuah negara yang termasyhur di persada antarabangsa. Saya berpegang kepada kata-kata Bapa Kemerdekaan Presiden Indonesia yang pertama iaitu Soekarno "Pemuda mesti bercita-cita besar, meningkat lebih tinggi dari Gunung Singgalang, lebih tinggi dari Gunung Merapi, yang lebih tinggi dari Gunung Tandikit, bahkan harus lebih tinggi dari bintang-bintang di langit, cubalah capai dengan tenagamu". Saya mempercayai kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Sri dan saya menyahut Cabaran 1 Malaysia untuk menjadi warganegara yang berkualiti, berketrampilan dan menumpahkan taat setia kepada kerajaan. Akhir kata, setakat ini sahaja cetusan minda saya. Salam 1 Malaysia.

Yang Benar,

Siti Nuharliza

(SITI NURHALIZA)


xx




Anda mungkin meminati juga:



No comments:

Post a Comment