Friday 15 May 2015

Nilai murni sangat penting untuk diterapkan dalam diri setiap murid. Bincangkan pernyataan di atas.

Dalam menempuh millennium yang sarat dengan cabaran globalisasi, insan yang kamil dan mempunyai nilai-nilai murni amat penting untuk membangunkan negara. Lebih penting lagi, "darah setampuk pinang", inilah yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara. Nilai-nilai murni vital diterapkan dalam sanubari setiap murid untuk mewujudkan minda kelas pertama dalam kalangan murid. Lantas, langkah-langkah pragmatik harus dilaksanakan untuk menjadikan nilai murni sebagai pedoman setiap murid.

Nilai murni dapat membentuk sahsiah positif dalam diri pelajar. Hal ini demikian kerana semua nilai murni di dunia perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Hal ini dapat melahirkan jati diri murid supaya berakhlak mulia. Murid sebegini senang didampingi, malah dapat meraih rasa hormat daripada masyarakat sekeliling. Mereka pasti tidak mudah terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata.

Murid yang bernilai murni senantiasa berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja yang bermasalah. Hal ini disebabkan murid sebegini mempunyai sikap mahmudah dan nilai keinsanan yang syumul. Dia dapat membezakan perkara yang mulia daripada perkara yang buruk. Bak kata pepatah "Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan".

Selain itu, murid dapat meneladani nilai menghargai masa dan berusaha menggunakan setiap detik dan waktu dengan sebaiknya agar diisi dengan perkara yang bermanfaat serta berfaedah kerana bak kata pepatah, masa itu emas. Murid akan memahatkan nilai masa dalam sanubari mereka dan tidak menghabiskan waktu dengan sia-sia kerana memahami "masa depan itu dibeli oleh masa sekarang" seperti mana yang diungkapkan oleh Samuel Johnson.


Seterusnya, nilai menyayangi negara dapat melahirkan insan yang mempunyai semangat patriotik. Mereka akan menghargai jasa tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa. Mereka tidak akan bersikap seperti kacang lupakan kulit. Murid yang kamil dapat menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi menyahut slogan "1 Malaysia". Nilai-nilai yang berharga akan menjadi iktibar dalam kehidupan mereka supaya saling membantu bak aur dengan tebing. Semangat ini bertepatan dengan peribahasa "bersatu teguh, bercerai roboh".

Lagipun, murid-murid yang berpegang teguh pada nilai bercita-cita tinggi sentiasa gigih untuk menggapai menara impian. Cecil B. Demile pernah "Orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang". Murid yang mempunyai semangat kental dapat mengikis budaya pesimistik dan culas demi mencapai kejayaan kerana sedar bahawa "cita-cita membawa manusia ke gerbang kemuliaan, angan-angan membawa manusia terjerumus ke lembah kehinaan."

Akhir kata, nilai murni merupakan asas pembentukan murid yang dapat membesar menjadi insan yang berilmiah tinggi dan berkualiti. Pihak sekolah harus menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mengajar pendidikan moral dan sivik agar mampu menerapkan nilai-nilai tersebut. Bersama-sama kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk mewujudkan generasi baru yang cemerlang, gemilang dan terbilang seiring dengan aspirasi mencapai Wawasan 2020. Imam Al- Bukhari pernah berbicara “Jika kamu ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan muda yang ada sekarang.”


xx




Anda mungkin meminati juga:





5 comments: