Sunday 24 May 2015

Makna Hari Malaysia

Pada tarikh keramat 16 September 1963, terbentuklah negara baharu di peta dunia yang dinamai "Malaysia" hasil gabungan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah , Sarawak dan Singapura. Bertitik tolak sebagai sebuah negara berdaulat, "Hari Malaysia" turut diisytiharkan sebagai cuti am. Hari istimewa ini disambut oleh rakyat di seluruh pelosok negara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Yang pasti, semuanya berasa bangga untuk menyambut hari tersebut sebagai tarikh bersejarah yang harus diraikan, terutama oleh generasi pada hari ini.

Dengan menghayati makna "Hari Malaysia", pengetahuan tentang sejarah pembentukan negara kita merupakan kata kunci yang perlu dipegang sebagai "azimat". Hal ini demikian kerana orang cerdik pandai sering berkata bahawa "sejarah merupakan guru terbaik " untuk mendidik manusia memanfaatkan sejarah silam. Tujuan kita menghargai sejarah negara bukanlah sekadar untuk bernostalgia semata-mata, bahkan mengajar kita erti Hari Kebangsaan, dan juga melahirkan jati diri bangsa. Lantas, kita dapat membangunkan negara agar lebih maju, makmur dan berdaya saing.

Selain itu, generasi muda zaman kini berperanan sebagai penentu kesejahteraan negara pada masa akan datang. Imam al-Bukhari pernah berkata "Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan muda yang ada sekarang." Mereka akan menjadi pewaris kepimpinan negara, dan haruslah menghargai makna "Hari Malaysia". Makna ini akan terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung dalam badan. Golongan muda harus berusaha mengekalkan kedaulatan negara dengan jiwa yang merdeka dan sentiasa menjaga imej negara di mata dunia.

Dari perspektif yang lain, sistem pendidikan harus diperkasakan dan peringkat akar umbi, iaitu pada peringkat sekolah rendah lagi melalui mata pelajaran Sejarah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Pengajaran ini mampu memberikan kefahaman, pengetahuan, rujukan sebenar tentang pentingnya "Hari Malaysia" kepada pelajar supaya membesar menjadi individu yang cinta akan negara.

Yang paling penting, kita sebagai rakyat Malaysia patut membebaskan minda daripada dibelenggu dan dicengkam oleh "warisan" penjajahan dengan berusaha untuk berjasa kepada negara. Kita wajarlah mendukung aspirasi negara melalui pembangunan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam pembudayaan ilmu. Maka, perpaduan kaum dapat menyinarkan dan mengharumkan makna "Hari Malaysia" dengan sebaiknya. Hal ini dapat diwujudkan melalui amalan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" dalam kehidupan. Ingatlah, bak kata pepatah "Bersatu teguh, bercerai roboh".

Tuntasnya, "Hari Malaysia" merupakan iktibar dan pelajaran dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia. Dengan penyemaian makna ini dalam kalangan rakyat, pastilah negara kita dapat mencapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa.


xx




Anda mungkin meminati juga:






No comments:

Post a Comment