Thursday 21 May 2015

Karangan Gambaran: Pengalaman di Hospital

Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan-rakan lain berlumba basikal di jalan raya. Malang tidak berbau, sebuah kereta dari arah bertentangan hilang kawalan lalu melanggar saya. Basikal saya terbabas dan saya meraung kesakitan apabila darah berlumuran dari kaki saya. Saya lekas dikejarkan ke hospital yang berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Di hospital, says diletakkan di atas sebuah katil beroda. Kemudian, saya dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan hospital tersebut. Saya berasa amat takut dan kesal kerana berlumba basikal bersama-sama rakan-rakan saya. Beberapa minit kemudian, selepas disuntik sejenis ubat, saya tidak sedarkan diri dan pembedahan itu bermula.

Saya membuka mata. Saya terfikir sama ada saya masih hidup lagi atau sudah meninggal dunia. Saya hendak bergerak, namun gagal kerana tidak boleh menahan kesakitan kaki saya yang cedera parah itu. Saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Rupa-rupanya, saya berada di dalam sebuah wad yang berisi sepuluh orang pesakit.

Di dalam wad tersebut, terdapat bau ubat yang kuat. Saya hampir hendak menekan sebiji butang yang terdapat di tepi katil saya untuk memanggil jururawat. Oleh sebab terlalu bosan, saya berbual-bual dengan pesakit yang berkongsi wad tersebut. Dari perbualan kami, saya mendapat tahu bahawa Pak Busuk yang di sebelah saya menghidapi demam denggi dan Puan Araniwati di katil depan saya lebih malang kerana menghidapi kanser kulit.

Apabila masa untuk makan ubat telah tiba, seorang jururawat masuk ke dalam wad lalu menyuapkan ubat kepada pesakit yang tidak bermaya. Dia juga memeriksa jadual kesihatan setiap pesakit untuk memastikan tahap kesihatan kami stabil. Pada waktu rehat, saya dibenarkan menonton siaran televisyen. Ada satu kali, televisyen menayangkan siaran perlawanan Piala Dunia FIFA yang saya gemari.

Pada suatu malam, ketika semua orang telah tidur, salah seorang pesakit menjerit kesakitan kerana terjatuh dari katilnya. Seorang jururawat terus masuk ke dalam wad tersebut lalu memapah pesakit itu ke atas katilnya. Beberapa minit kemudian, semua orang pun terus tidur.

Pada keesokan harinya, keluarga saya datang ke hospital untuk menziarahi saya. Mereka membawa buah tangan seperti buah-buahan untuk saya. Saya terharu kerana mereka memberi semangat kepada saya untuk pulih. Tiga hari kemudian, saya dibenarkan keluar dari hospital. Keluarga saya pun datang untuk menjemput saya. Sebelum pulang, saya mengucapkan terima kasih kepada jururawat kerana dia sering menolong saya. Saya juga berjanji tidak akan berlumba basikal pada masa akan datang.


xx




Anda mungkin meminati juga:


8 comments: