Monday 18 May 2015

Karangan Autobiografi: Aku Sehelai Seluar Panjang

Aku membuka mataku. Aku menguap keletihan dan menggosok-gosok mataku untuk melepaskan kepenatan. Aku termenung dan memerhati tempat tinggalku yang sentiasa dalam kegelapan itu. "Begitulah riwayat hidupku yang kasihan ini, kalau bukan anjing itu, pastilah aku masih seluar kesayangan tuanku!" sebak hatiku apabila mengenangkan itu semua, kemarahan yang menggelegak pun sudah tidak berguna.

Jika hendak dibandingkan, dahulunya aku merupakan sehelai seluar panjang yang cantik dan menarik. Aku teringat semasa dilahirkan di dalam sebuah kilang baju, aku dijahit oleh seorang wanita dengan benang kapas. Pada saat itu, aku berasa amat gembira apabila melihat badanku disiapkan dengan cepat sekali. Kesyukuran pada hidup baru ini telah menyebabkan aku dapat menahan kesakitan jarum yang matanya tajam itu. Kemudian, aku diperiksa oleh seorang pekerja untuk memastikan aku menetapi mutu yang dikehendaki. Selepas itu, aku dan rakan-rakan lain diangkat ke dalam lori untuk dihantar ke sebuah pasar raya. Di sana, aku dan rakan-rakan lain dipamerkan di dalam sebuah almari kaca.

Beberapa bulan berlalu, namun aku masih tidak dibeli oleh sesiapa pun. Aku pernah berfikir, betulkah aku akan tinggal di sini selama-lamanya hingga berdebu? Tiba-tiba, seorang lelaki tampan berjalan ke arahku. Lelaki itu berkenan dengan corak dan bentukku dan setelah membelek-belekku, dia pun membayar hargaku di sebuah kaunter. Aku hampir melompat kegembiraan kerana dibeli.

Tuanku bernama Encik Hafizi. Dia seorang peniaga yang berjaya. Dia sering ke negara lain untuk mengembangkan perniagaan dengan mendapatkan tender dan kontrak daripada pelbagai pihak yang ingin membeli produk perniagaannya. Tambahan pula, perniagaannya makin hari makin berkembang dengan pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sewaktu berurusan di luar negara, tuanku kerap mnggunakan aku hingga aku pernah tidak dicuci selama beberapa hari. Seronoknya aku kerana dapat makan angin di negara lain selain mendapat pengetahuan luas tentang tempat-tempat perlancongan di negara-negara tersebut.

Namun sayangnya, malang tidak berbau. Pada suatu hari, tuanku perlu menghadiri mesyuarat yang penting. Oleh sebab tuanku terlewat bangun, dia bergegas menggosok gigi dan memakai pakaian. Dalam keadaan kelam-kabut itu, tuanku meninggalkan aku di atas katilnya. Si Comel, kucing peliharaanya tuanku tiba-tiba masuk ke dalam biliknya. Si Comel pun melompat ke atas katil dan menggigit badanku hingga koyak-rabak. Aku menjerit kesakitan namun tiada orang yang mempedulikanku. Aku hanya mampu menangis teresak-esak kerana badanku sakit seperti dihiris dengan pisau.

Apabila balik ke rumah, alangkah terkejutnya tuanku apabila melihat keadaanku yang kasihan itu. Perasaan bertarung antara hendak membuangku atau tidak seperti peribahasa ditelan pahit, dibuang sayang. Akhirnya, tuanku pun menyimpanku di dalam sebuah laci kecil. Aku berasa tersisih dan hingga hari ini, walaupun peristiwa telah berlalu selama beberapa tahun, aku masih tidak mampu melupakan peristiwa malang yang telah mengubah hidupku selama-lamanya.


xx




Anda mungkin meminati juga:


1 comment:

  1. hai saya nak gunakan contoh ni sebagai rujukan ye. terima kasih :)

    ReplyDelete