Friday 3 April 2015

Wawasan 2020 - Impian Saya Untuk Malaysia

Konsep Wawasan 2020 mula diperkenalkan bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020 secara menyeluruh. Antara pendekatan yang harus dilakukan ialah melalui beberapa perkara di bawah ini :

1. Pembentukan sebuah Negara Bangsa :
Negara bangsa ialah negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Negara bangsa membentuk sebuah negara dengan rakyatnya hidup bersatu padu, berkeyakinan, harmoni, mempunyai daya saing yang tinggi dan mempunyai semangat patriotik yang kental. Rakyatnya akan menikmati kehidupan berasaskan persamaan hak, keadilan dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap sistem pemerintahan negara. Faktor-faktor yang membawa kepada pembentukan negara bangsa ialah lingua franca, integrasi, kewarganegaraan, patriotisme dan demokrasi. Dalam usaha pembentukan negara bangsa ini, kerajaan memfokus dan melaksanakan strategi iaitu memperkasakan Bahasa Kebangsaan, memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta membina jati diri dan semangat patriotik dalam diri individu.

Pembentukan sebuah negara bangsa menjadi prasyarat kepada kemajuan negara kerana rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa. Tanpa penyatuan pemikiran dan kerjasama, kemajuan negara tidak akan tercapai.

2. Membentuk negara perindustrian :
Ekonomi Malaysia melalui proses transformasi yang pesat dari sebuah negara yang dulu ekonominya bergantung kepada sektor pertanian kepada sebuah negara yang berteraskan sektor industri yang berkembang maju. Barangan perkilangan kini menyumbang lebih 80.0% daripada jumlah eksport negara, dengan barangan elektrik dan komposisi industri yang terlibat, negara ini bertaraf industri maju, namun hakikatnya ekonomi Malaysia telah melalui suatu era perindustrian yang pesat. Perkembangan sektor perindustrian kini bukan setakat untuk memenuhi keperluan domestik semata-mata, tetapi lebih kepada usaha untuk menembusi pasaran global. Fenomena yang sama turut berlaku dalam sektor perkhidmatan. Cabaran terbesar yang perlu dihadapi kini ialah bagaimana cara meningkatkan keupayaan ekonomi negara dalam menghadapi era globalisasi supaya dapat terus bersaing di pasaran antarabangsa. Dalam waktu yang sama, tingkat kebajikan penduduk terus dapat dipelihara. Justeru, ekonomi Malaysia harus mampu memenuhi tuntutan globalisasi dan lebih bersedia menghadapi era pascaindustri yang lebih mencabar. (Rujukan :  Ishak Yussof, Nor Aini Idris dan Basri Abdul Talib. 2006. “Ekonomi Malaysia Ke arah Pascaindustri”.)

Hal ini bukan sahaja melibatkan transformasi kehidupan berpaksikan pertanian tetapi juga melibatkan transformasi ekonomi, sosial, kebudayaan dan teknologi. Masyarakat negara maju didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi serta inoivasi dan bukan sahaja mencedok dan mengubahsuai semata-mata.

3. Keadilan ekonomi dan sosial
Mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang suatu yang penting bagi mewujudkan negara maju dan bersatu ke arah wawasan 2020. Hal ini kerana untuk mengelak dari wujudnya masyarakat tercicir kerana akan berlaku salah anggap terhadap ketidakadilan bantuan untuk setiap lapisan masyarakat dari segi pembangunan ekonomi dan sosial. Keseimbangan ini penting supaya wawasan ke arah negara maju akan dicapai.

4. Membentuk masyarakat bermoral dan beretika tinggi :
Nilai dan masyarakat amat berkait rapat. Jika sesebuah masyarakat mengamalkan nilai baik, masyarakat tersebut mampu hidup harmoni dan berkembang  maju . Anggota dalam sesebuah masyarakat  terdiri daripada individu, keluarga, organisasi dan masyarakat itu sendiri. Etika nilai penting dalam kehidupan masyarakat kerana ia berhubung dengan perlakuan tingkahlaku masyarakat manusia  sama ada baik atau buruk. Negara dapat berkembang maju dan pesat tanpa gangguan.

Malaysia kepada sebuah negara maju berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru cara dan corak negara-negara maju yang wujud sekarang.  Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik sahaja.  Oleh itu, dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sempurna berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang tinggi.  Kehendak ini adalah bertepatan dengan cabaran ketujuh yang terkandung dalam Wawasan 2020.  Cabaran ketujuh tersebut adalah membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Masyarakat yang sempurna seharusnya berpegang teguh kepada falsafah moral dan etika yang tinggi demi untuk kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara.  Menghayati dan mengamalkan falsafah moral dan etika adalah penting kerana kemajuan daripada segi kebendaan sahaja akan menyebabkan sesebuah masyarakat dan negara itu pincang. Penghayatan dan amalan nilai-nilai moral dan etika oleh setiap anggota masyarakat akan menjadi penghalang dalaman kepada mereka untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kelebihan yang dimiliki untuk mengganggu hak orang lain. 

5. Melahirkan modal insan kelas pertama :
Untuk mempersiapkan diri kita didalam organisasi dan misi negara ke arah negara maju menjelang 2020, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi salah satu keperluan. ‘Minda Kelas Pertama’ secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Justeru, langkah kerajaan di bawah pimpinan mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk melahirkan belia Minda Kelas Pertama adalah bertepatan sekali dengan misi dan visi negara untuk mencapai sasaran Negara Dunia Pertama. Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan. Demikian antara ungkapan penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan RMK-9. Perdana Menteri berpendapat, pembangunan modal insan dan anjakan minda dan pemikiran warga satu cabaran terbesar. Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Minda Kelas Pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

6. Menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa
Sekiranya Malaysia berjaya menjadi sebuah destinasi pelaburan antarabangsa, ini akan menguntungkan untuk menambahbaik kehidupan rakyat dan menambah dana bagi pembangunan negara dan menuju ke arah negara maju pada tahun 2020.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah, merancang, menggubal dan melaksanakan Dasar-dasar Perdagangan dan Industri supaya berkembang dengan pesat ke arah Pencapaian Dasar Ekonomi Negara dan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Hal ini juga penting untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan menjadi antara negara pedagang yang paling berdaya saing pada tahun 2020.  Selain itu, promosi dan mengatur strategi daya saing global Malaysia di arena perdagangan antarabangsa dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi perlu dilakukan bagi mencapai  hasrat sebagai sebuah negara maju.menjelang tahun 2020.

7. Mewujudkan persekitaran kondusif
Hal ini penting bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Dalam RMK-10,  Peruntukan RMK10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.

Persekitaran yang kondusif ini membolehkan rakyat Malaysia bersaing dengan negara luar dari segi persekitaran yang menjadi elemen kejayaan Malaysia di arena antarabangsa. Kemudahan seperti premis perniagaan, perindustrian, pengangkutan, infrastruktur dan juga kemudahan awam memberi imej positif Malaysia kepada negara luar.

Contohnya sistem pengangkutan domestik dan antarabangsa yang maju, selamat dan mesra alam serta berteknologi tinggi sangat penting bagi malaysia untuk mencapai misi berstatuskan negara maju. Misalnya pelaksanaan projek mega Mass Rapid transit tinggi Malaysia menjadi ikon kepada pembangunan negara belum cukup untuk mengecapi imej sebagai negara maju. Malaysia masih perlu membangunkan jaringan pengangkutan tanpa sempadan sama ada domestik atau intra. Ini merupakah salah satu contoh sahaja. Banyak lagi contoh-contoh lain yang memungkinkan Malaysia memajukan persekitaran supaya tidak mustahil untuk mencapai status negara maju melaluui kerjasama antara pentadbir dan rakyat yang ditadbir.

Rumusan :
Dalam konteks mencapai status negara maju menjelang 2020, beberapa elemen penting seperti yang dihuraikan tadi menjadi asas yang perlu dilaksanakan dan dicapai agar kekangan bagi mencapai hasrat tersebut tidak akan menganggu gugat misi negara untuk ke arah bersaiang dan menempatkan diri dalam senarai negara maju dunia. 


Student KoolAid

xx

Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

1 comment: