Saturday 28 March 2015

Produktiviti dalam kehidupan

Dasawarsa ini, ramai orang yang ingin menjadi produktif dalam menyiapkan segala urusan kehidupan. Bahkan dalam sebuah organisasi, produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil pengeluaran. Produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kualiti output yang dapat dihasilkan oleh satu unit input. Dalam zaman pascakemerdekaan ini, negara Malaysia telah muncul sebagai kuasa ekonomi yang disanjungi di persada antarabangsa. Di samping mempunyai golongan penduduk yang dedikasi, kita juga mempunyai infrastruktur yang mampu meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor. Lantas, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengelakkan budaya "automasi" dan mengamalkan fikiran kritis dan konstruktif untuk meningkatkan produktiviti dalam semua aspek kehidupan.

Antaranya, peningkatan produktiviti dalam sektor perindustrian. Barang yang dihasilkan dengan menggunakan komputer bukan sahaja lebih banyak dan lebih cepat, tetapi juga lebih menjimatkan masa berbanding dengan keupayaan semula jadi manusia. Alat teknologi dapat menjamin kualiti barangan yang dikeluarkan dengan mengaji mutu barangan dengan tepat dan cepat. Robot digunakan untuk memasang kereta atau menjalankan kerja-kerja yang terdedah kepada bahan pencemaran dan radioaktif. Selain itu, kemunculan penggunaan laser turut memajukan produktiviti dalam bidang perindustrian. Laser merupakan alat pemecah dan pemotong yang termoden. Laser dapat memotong batu permata, intan, kaca, malah kepingan logam tanpa mengeluarkan haba, bunyi dan sisa kotoran. Maka jelaslah produktiviti dalam sektor perindustrian merupakan hasil daripada penggunaan alat-alat berteknologi seperti jentera canggih dan robot-robot.

Selain itu, peningkatan produktiviti dalam sektor pertanian. Melalui kepakaran dalam teknologi, teknik dan teknologi pertanian akan mengalami transformasi. Teknik-teknik moden yang efektif dalam bidang penanaman, penternakan dan penuaian akan membantu meningkatkan produktiviti. Bioteknologi juga akan membantu dalam penghasilan baka, benih dan racun bagi memajukan sektor pertanian. Pertanian yang berorientasi intensif teknologi bukan sahaja meningkatkan kualiti makanan tetapi juga menjamin kelangsungan makanan. Lantas, usaha berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan dapat membantu memelihara ekologi tanaman yang akan meningkatkan kualiti hidup manusia. Kini, bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan ubahsuaian genetik mempunyai ciri-ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, murah serta dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman.

Seterusnya, peningkatan produktiviti sistem telekomunikasi. Maklumat dari sesuatu kawasan boleh dihantar ke seluruh dunia dalam masa beberapa saat sahaja melalui satelit. Kita tidak perlu menggunakan kaedah kuno seperti melepaskan asap sebagai tanda isyarat atau memukul kompang untuk menghantar mesej. Sebaliknya, sesuatu acara sukan atau pertandingan boleh disiarkan secara langsung ke semua pelosok dunia dengan pantas. Penciptaan telefon bimbit dapat menghantar SMS dan MMS kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Syarikat Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk menghubungi sesiapa sahaja dalam kehidupan seharian. Penciptaan teknologi laser turut memainkan peranan penting kerana mengganti peranan kabel dengan optik fiber. Jalur laser yang lebih luas membenarkan maklumat seperti bunyi dan suara dihantar dengan lebih cepat dan tepat serta meminimumkan risiko kehilangan data.

Selanjutnya, peningkatan produktiviti sektor penyelidikan. Pelancaran satelit dapat mengumpul data, data penting mengenai persekitaran bumi dengan pantas. Maklumat ini kemudian dianalisis dengan segera oleh komputer untuk menghasilkan keputusan kajian yang tepat tentang keadaan cuaca, seperti hala tuju angin dan kelembapan sesuatu kawasan. Ramalan kaji cuaca ini dapat membantu manusia untuk bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman malapetaka seperti banjir dan taufan. Berbanding dengan zaman dahulu, ramalan cuaca dilaksanakan dengan memerhatikan kedudukan matahari pada waktu siang dan bintang-bintang pada waktu malam. Kaedah ini kurang produktif kerana kedudukannya tidak tertentu. Hal ini membuktikan bahawa perkembangan pesat dalam tahap teknologi telah merancakkan peningkatan produktiviti dalam sektor penyelidikan.

Produktiviti dalam bidang pendidikan juga dipengaruhi. Murid-murid yang menganggap proses pembelajaran sukar untuk difahami pastinya akan berminat apabila komputer digunakan untuk menyampaikan pengajaran dalam bentuk grafik yang berwarna-warni. Teknik pengajaran sebegini direalisasikan apabila munculnya kemudahan alat ICT di kebanyakan sekolah di Malaysia. Pada zaman sekarang, para murid dapat menelaah pelbagai isu semasa dunia dengan hanya menekan papan kekunci. Mereka tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung. Murid didedahkan kepada pengetahuan am yang bukan dari buku teks sekolah sahaja. Sebagai kesan murid-murid mampu meluaskan il u pengetahuan mereka dan menjadi insan yang berilmiah dan berkualiti. Lantas, produktiviti dalam pendidikan pun dapat ditingkatkan.

Selain itu, peningkatan produktiviti di klinik dan hospital. Doktor boleh membuat diagnosis sesuatu penyakit dengan menggunakan komputer untuk memproses butir-butir peribadi mengenai pesakit dan seterusnya mendiagnosis jenis penyakit yang dihadapinya. Dalam rawatan kesihatan khususnya semasa pembedahan, teknologi memberikan sumbangan yang besar dari segi melicinkan kerja pembedahan. Umpamanya bacaan denyutan jantung dan analisis gambar sinar - x pesakit boleh dibuat dengan serta-merta dengan peralatan canggih. Cara ini dapat membantu menjamin keselamatan dan kejayaan sesuatu pembedahan. Lagipun, pakar-pakar perubatan dapat menghasilkan ubat yang lebih berkesan. Mereka dapat mencipta peralatan canggih untuk membanteras pelbagai penyakit berbahaya pada masa kini. Penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis dan tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara ini, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Oleh hal yang demikian, perkembangan dalam bidang perubatan telah meningkatkan produktiviti dan jangka hayat rakyat kita.

Dalam kehidupan kita, ramai orang ingin lebih bermotivasi dalam kerja dan ingin mencontohi orang yang cemerlang dan berjaya dalam kehidupan mereka. Kita mengagumi kehidupan mereka yang tersusun dan terancang. Antara teknik yang boleh digunakan untuk memastikan masa kita dibahagikan dengan betul ialah Teknik Pomodoro, Teknik GTD, Teknik Jangan Putuskan Rantai dan sebagainya. Namun yang paling penting, kita mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk meningkatkan produktiviti hidup. Sebab itulah, pihak kerajaan menyeru agar rakyat kita melakukan senaman riadah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Amalan ini melahirkan rakyat yang sihat dan produktif. Bak kata pepatah "otak yang cerdas datang daripada tubuh yang cergas".

Tuntasnya, dengan adanya inovasi dan perkongsian, produktiviti meningkat kerana inovasi adalah jantung, berkongsi adalah hati. Maka, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia meletakkan 'inovasi' sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara. Beliau telah memperuntukkan bajet yang positif dan Belanjawan 2013 untuk merancakkan kegiatan inovasi, peningkatan produktiviti dan keusahawan. Lantas, setiap lapisan masyarakat haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mempromosikan produktiviti kehidupan. Dengan ini, kita dapat membina masyarakat yang berminda kelas pertama, seterusnya aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 mampu diimplimentasikan dan dilestarikan.


Student KoolAid

Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

No comments:

Post a Comment