Wednesday 21 October 2015

Kamu telah membaca sebuah novel yang menarik hati kamu dan terdapat beberapa nilai murni yang terkandung dalam novel ini. Huraikan nilai murni itu.



Belakangan ini, saya baru sahaja selesai membaca sebuah novel yang menarik hati saya. Novel itu bertajuk "Harry Potter" dan di dalam novel tersebut tersirat beberapa nilai murni yang menjadi pedoman kepada saya semasa menempuh belantara kehidupan. Nilai-nilai murni tersebut juga menjadi iktibar untuk saya agar selalu mempraktikkan amalan baik sewaktu menghadapi pancaroba dan dugaan di dunia luar. Jelaslah bahawa buku jambatan ilmu dan ilmu merupakan pelita hidup.

Salah satu nilai murni yang tersirat dalam novel "Harry Potter" ialah nilai rendah hati. Harry merupakan seorang anak yatim yang mempunyai kuasa ajaib kerana mempunyai darah ahli sihir. Dia terpaksa hidup di bawah jagaan saudara-maranya yang berperangai buruk terhadapnya. Meskipun Harry sedar bahawa dia mempunyai kuasa ajaib dan terkenal di dunia ahli sihir, namun dia tetap rendah hati dan melayan setiap orang di sekelilingnya dengan akhlak yang mulia. Sebab itulah, Harry disanjungi oleh kawan-kawannya kerana mempunyai sikap mahmudah dan senang didampingi. Seseorang yang rendah hati tidak mudah sombong seperti kaduk naik junjung. Sebaliknya, insan itu akan rajin memajukan diri tanpa titik noktahnya dan pastilah akan menjadi sumber rujukan ramai. Terbuktilah bahawa nilai rendah hati dapat membentuk sahsiah positif dalam seseorang.

Selain itu, nilai menghargai masa juga terkandung di dalam novel ini. Semasa di sekolah khas yang bernama Horgwarts, Harry memanfaatkan masanya dengan menimba ilmu sihir yang banyak. Dia amat menghargai masanya dan ingin menelaah pelbagai ilmu yang tinggi dan ektensif. Kita sebenarnya haruslah menyemai nilai menghargai masa dalam sanubari kita kerana bak kata pepatah, masa itu emas. Untuk memastikan tiada sedetik masa pun yang dibazirkan, kita perlu membuat jadual waktu dan mengisinya dengan aktiviti faedah. Maka, kita dapat mengelakkan diri daripada membazirkan masa dengan gejala negatif seperti gengsterisme, vandalisme dan sebagainya. Lantas, kita akan membesar menjadi individu yang berfikir secara matang dan mempunyai masa hadapan yang berhala tuju. Samuel Johnson pernah mengungkapkan "Masa hadapan dibeli oleh masa sekarang." Jelaslah bahawa nilai menghargai masa dapat menjamin kegemilangan masa hadapan kita.

Seterusnya, nilai murni yang telah saya singkap dari tirai buku ini ialah nilai kegigihan. Nilai ini ditonjolkan oleh Harry yang bertekad untuk menguasai ilmu sihir dan menewaskan musuhnya, iaitu Voldemort. Walaupun terpaksa menempuh banyak cabaran dan pancaroba sepanjang perjalanannya, Harry tidak pernah berputus asa dan tetap berusaha untuk menggapai menara impiannya. Dalam konteks ini, kita wajarlah meneladani nilai kegigihan yang terpahat pada jiwa Harry kerana semangat kental akan membolehkan angan-angan kita menjadi realiti. Cecil B. DeMile pernah mengungkapkan "Orang yang berjaya dalam hidup merupakan orang yang mengenal pasti menara impiannya dan menjurus ke arah impian tersebut tanpa menyimpang." Terbuktilah bahawa nilai kegigihan amat signifikan dalam usaha mencapai aspirasi kita dalam kehidupan.

Seperkara lagi, nilai perpaduan juga tersirat dalam novel ini. Di hujung buku ini, Harry dan kawan-kawannya seperti Hermione, Ron dan lain-lain menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk melawan Voldemort dan askarnya. Harry berjaya menjalinkan hubungan yang erat dengan ahli pasukannya dan memenangi keyakinan dan kepercayaan mereka. Mereka bekerjasama dan berganding bahu untuk mempertahankan sekolah Horgwarts daripada ancaman musuh. Saya amat terharu dengan perpaduan yang ditonjolkan oleh Harry dan pasukannya semasa menentang anasir luar . Kita semua seharusnya menerapkan elemen perpaduan dalam masyarakat kita dan menjalinkan tali ukhuwah antara kaum tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dalam konteks ini, masyarakat yang berminda kelas pertama dapat dibina dan pencetusan perselisihan faham tidak akan berlaku. Lantas, negara kita akan membangun dengan pesat kerana mempunyai rakyat yang mementingkan perpaduan kaum seperti kata pepatah bersatu teguh, bercerai roboh. Jelaslah bahawa nilai perpaduan kaum merupakan elemen penting dalam menentukan kejayaan sebuah pasukan, organisasi dan negara.

Tuntasnya, novel "Harry Potter" ini telah menerapkan nilai murni yang banyak ke dalam jiwa saya dan mengajar saya untuk membezakan yang mana intan, yang mana permata dalam hidup. Saya juga belajar untuk melahirkan akhlak mulia dan sentiasa melakukan perkara yang baik kerana bak kata pepatah, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Novel ini juga telah memupuk minat dalam saya untuk mengamalkan hobi membaca pada waktu senggang. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Tuntutlah ilmu sehingga negara China." Maka, saya berhasrat untuk membaca novel yang berkualiti untuk menambah kosa kata dan ilmu pengetahuan. Saya berharap untuk membesar menjadi individu yang berilmiah dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.


Anda mungkin meminati juga:


No comments:

Post a Comment