Thursday 30 April 2015

Langkah-langkah pemupukan semangat patriotik

Dalam arus pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan ini, isu semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat Malaysia hangat diperkatakan. Sudah terang lagi bersuluh, semangat patriotik amat penting untuk mengukuhkan keamanan dan kedaulatan negara.

Bagi memastikan benih semangat patriotik tertanam di sanubari seluruh rakyat Malaysia, langkah yang paling penting ialah penekanan kepentingan semangat patriotik dari bangku sekolah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta sejarah, pelajar pasti akan cinta akan negara apabila didedahkan tentang jasa pemimpin negara.

Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa harus menjadi entiti mithali kepada anak dengan menyertai pelbagai aktiviti kenegaraan yang dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan. Hal ini secara tidak langsung dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.

Pihak berkuasa boleh menjalankan kempen kenegaraan secara besar-besaran melalui media massa. Televisyen dan radio boleh menyiarkan rancangan yang dapat meningkatkan semangat patriotik, seperti rencana pejuang kemerdekaan negara. Dalam konteks ini, semangat patriotik akan terpupuk melalui teladan pemimpin negara tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik.

Selepas 13 tahun pelancarannya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendapat sambutan yang hangat. Program ini perlu dimanfaatkan oleh remaja untuk menentukan hala tuju masing-masing bagi memastikan mereka menjadi warganegara yang berguna dan cinta akan negara. Melalui program ini para pelatih dapat mempelajari nilai murni seperti bertanggungjawab saling menghormati dan semangat patriotik.

Semangat patriotik amat penting kepada remaja supaya mereka tidak lupa akan perjuangan yang telah dilakukan oleh generasi dahulu dan mengelakkan diri daripada menjadi kacang yang melupakan kulitnya. Semua pihak haruslah berganding bahu untuk berusaha memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia. Bersama-sama kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadi negara yang berjaya di persada antarabangsa.

Student KoolAid

xx


Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

No comments:

Post a Comment