Wednesday 17 August 2016

Kepentingan amalan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Masalah wabak penyakit semakin menular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200,000 orang jika dibandingkan dengan bilangan pesakit pada tahun dahulu. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani dari akar umbi sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat? Saya akan rangkaikan satu demi satu.

Pertama sekali, salah satu kebaikan amalan gaya hidup sihat termasuklah tumbesaran yang seimbang. Dalam kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakat kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang merupakan antara punca kematian tinggi di negara kita. Maka, tumbesaran yang seimbang ditentukan oleh pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa haruslah menanam tabiat pemakanan seimbang dalam anak-anak sejak usia muda supaya menjaga diet mereka apabila dewasa kelak kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pengambilan minuman berkarbonat dan arak haruslah dikurangkan kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli serta mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka. Lagipun, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan biasanya digoreng dengan penuh minyak. Maka, tumbesaran seorang individu akan lebih menyeluruh dan seimbang. Jelaslah bahawa pemakanan yang seimbang dapat memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden. 

Selain itu, pengamalan gaya hidup sihat melahirkan sikap atau mentaliti positif untuk menangani cabaran dan pancaroba di dunia luar. Terdapat beberapa contoh gaya hidup sihat yang dapat mengurangkan tekanan dan stres kehidupan, iaitu mendapat rehat yang mencukupi dan bersenam. Rehat yang mencukupi memainkan peranan penting dalam pengamalan gaya hidup sihat. Kita perlulah berehat antara 6 hingga 8 jam sehari kerana rehat inilah yang mengecas semula organ-organ dalam badan kita untuk meneruskan kehidupan pada keesokan harinya. Meskipun generasi muda kini lebih suka tidur selepas tengah malam, ibu bapa tetap haruslah menetapkan satu masa tidur yang spesifik untuk dipatuhi oleh anak-anak. Hal ini dapat memastikan anak-anak mendapat pemulihan tenaga sepenuhnya. Sehubungan dengan kita, marilah kita meneruskan perbincangan tentang aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Secara umum, kita seharusnya melakukan aktiviti senaman sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan 3 kali seminggu. Aktiviti bersukan dapat mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman menyebabkan semua toksin badan keluar bersama-sama. Stres yang dialami juga dapat dihilangkan jua. Kesannya, individu tersebut mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Selain menyihatkan badan, aktiviti sukan juga dapat mencergaskan minda kita. Hal ini disebabkan ketika bersukan, oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan untuk menjalankan proses respirasi, di samping mempercepat alira oksigen ke otak. Maka, kita tidak mudah mengantuk ketika berada di sekolah mahupun di tempat bekerja. Sudah pastinya produktiviti kerja serta proses pembelajaran akan lebih efisien kerana bak kata pepatah, minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Jelaslah bahawa rehat yang secukupnya dan aktiviti sukan dapat melahirkan minda serta badan yang ishat. 

Kepentingan amalan gaya hidup sihat seterusnya ialah pencegahan serangan penyakit. Pemeriksaan kesihatan secara berkala merupakan antara kaedah untuk menjamin satu kehidupan yang sihat. Melalui pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali, pihak doktor mampu mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Hal ini memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, orang ramai perlu mengutamakan kebersihan diri bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi dan berpakaian bersih perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, asas-asas kebersihan lain perlu diamalkan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan agar tidak dihinggapi lalat dan juga memilih tempat makan yang bersih untuk menjamu selera. Selain mengutamakan kebersihan diri, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan ssebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan dan ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang shirt. 


Anda mungkin meminati juga:



Friday 18 March 2016

Langkah-langkah memupuk perpaduan

Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman.  Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi. 

Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda. 




Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. 


Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa. 


Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.


Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu. 



Anda mungkin meminati juga:


Monday 14 March 2016

Punca-punca berlakunya gejala rasuah dan cara membanterasnya


Rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapat sesuatu dengan mudah dan cepat tetapi salah di sisi undang-undang negara. Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini dan menjadi buah mulut media massa. Media massa selalu menyiarkan pelbagai kes rasuah yang melibatkan pegawai berprofil tinggi sebagai bukti isu ini semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.  Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia berada pada tangga ke 50 daripada 175 buah negara pada tahun 2014. Senario ini amat menggemparkan kerana gejala rasuah akan mencemarkan nama baik negara kita. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan gejala rasuah berlaku dan bagaimana kita patut menangani isu ini? Saya akan rangkaikan satu demi satu.

Antara punca berlakunya gejala rasuah termasuklah kurangnya didikan agama dan moral. Semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Didikan agama dan moral merupakan pedoman dan panduan kita semasa menempuh belantara kehidupan. Namun demikian, seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat mudah terpengaruh dengan dunia hedonistik yang mementingkan aspek kebendaan semata-mata. Mereka akan leka mengejar kekayaan dan mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan dengan mengambil rasuah untuk memenuhi fatamorgana diri sendiri. Individu sebegini sudah kehilangan prinsip asas dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Jelaslah bahawa anutan agama dan moral yang kurang mantap akan menyebabkan seseorang melibatkan diri dalam gejala rasuah.

Punca lain yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutamanya aspek pemberian tender, kontrak dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk mengaut keuntungan dengan memberikan rasuah. Lagipun, ketiadaan sistem permantauan berkesan yang bak melepaskan batuk di tangga menyebabkan ramai pekerja awam yang terangsang untuk melakukan jenayah ini. Maka, wabak sosial ini telah menular dalam masyarakat kita sehingga dianggap sebagai asam garam kehidupan dan merupakan kebiasaan di negara kita. Persepsi demikian menyebabkan jumlah kes rasuah melambung tinggi dan menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.

Seperkara lagi, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dalam sistem perundangan 
negara kita turut menyumbang kepada penularan gejala rasuah dalam negara kita. 
Tindakan mahkamah yang menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah menimbulkan pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman negara kita untuk menangani isu ini. Hukuman ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana sedar bahawa mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang diambil setelah keluar dari penjara. Terdapat juga anggapan rakyat bahawa masih ada pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi tidak dibawa ke muka pengadilan. Hal ini telah mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk menangani isu ini. Sesungguhnya, kekurangan ketegasan sistem kehakiman kita dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah merupakan antara penyumbang utama kepada kejadian jenayah rasuah di negara kita. 


Untuk menangani isu rasuah dari akar umbi, ibu bapa dan barisan pendidik memainkan peranan yang signifikan dalam menyemai nilai murni pada sanubari anak. Sejak usia muda, anak-anak perlu dididik tentang keburukan mengambil rasuah kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa perlulah menjadi entiti mithali dan teladan baik dengan bersikap jujur dan menjauhi amalan rasuah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang melakukan jenayah rasuah dan cuba menasihati anak-anak mereka untuk menjauhi gejala tersebut ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan dan nasihat mereka akan bagai mencurah air ke daun keladi. Di sekolah, pengajaran pendidikan agama dan moral perlu diberikan tekanan. Barisan pendidik boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah dengan anak murid sebagai iktibar supaya tidak melakukan jenayah rasuah dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya, kerjasama daripada ibu bapa dan barisan pendidik mampu melahirkan anak bangsa yang berpegang kuat pada prinsip mereka dan menjauhi amalan rasuah.

Pihak kerajaan boleh membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut sosial ini dengan menguatkuasakan undang-undang negara kita. Sistem kehakiman negara kita perlulah diperketat dan pesalah-pesalah rasuah mestilah ditahan, didakwa dan dihukum tanpa mengira kedudukan mereka. Hukuman tegas perlu dijatuhkan pada pesalah rasuah sebagai amaran kepada orang lain agar tidak melakukan jenayah tersebut kerana bak kata pepatah, harimau ditakuti disebabkan giginya. Kesungguhan kerajaan dalam membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan juga memberikan satu peringatan yang kekal terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung badan. Jelaslah bahawa tindakan tegas terhadap semua pengamal rasuah tanpa memilih bulu akan mendorong masyarakat kita supaya menjauhi jenayah tersebut.

Di samping itu, media massa turut memainkan peranan vital dalam menimbulkan kesedaran dalam lapisan masyarakat tentang keburukan dan implikasi mengambil rasuah. Pihak kerajaan seharusnya melancarkan kempen iklan yang efektif dengan menggunakan media massa secara holistik, iaitu akhbar hingga ke internet untuk memastikan setiap lapisan masyarakat didedahkan kepada kempen tersebut. Kempen ini bertujuan untuk memberikan amaran dan peringatan kepada setiap individu tentang hukuman yang akan dihadapi jika mengambil rasuah. Justeru, masyarakat akan berfikir dua kali sebelum menerima rasuah dan senario ini akan mengurangkan kes rasuah dengan signfikan. Sudah terang lagi bersuluh, dalam menempuh arus globalisasi ini media massa merupakan senjata yang efektif dalam  membanteras jenayah rasuah di negara kita. 

Konklusinya, rasuah merupakan wabak sosial yang mestilah dibanteras hingga ke akar umbi. Semua pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mengatasi gejala rasuah di negara kita. Jika setiap individu memainkan peranan dengan mengelakkan diri daripada mengambil rasuah, pastilah masalah ini dapat ditangani kerana bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka, tindakan saksama yang dikenakan terhadap pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan juga dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Lantas, negara kita dapat terus maju dan muncul sebagai negara kelas pertama di pentas dunia. 


Anda mungkin meminati juga:




Sunday 21 February 2016

Punca Berlakunya Kes Penderaan Kanak-kanak dan cara-cara menangani masalah ini

Penderaan merujuk kepada penderaan secara fizikal dan mental terhadap manusia. Penderaan kanak-kanak bukanlah suatu isu yang baharu di Malaysia bahkan telah menjadi isu yang membelenggu masyarakat di negara kita. Jika diselak dada akhbar, kita akan mendapati bahawa bilangan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia terus meningkat tanpa titik noktahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sebenarnya, anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Maka benarlah bahawa kanak-kanak ibarat kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. Ironinya, apa yang berlaku, harapkan pagar, pagar makan padi. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia baru-baru ini, sebanyak 70 peratus kes penderaan kanak-kanak dilakukan oleh ibu bapa sendiri manakala 30 peratus dilakukan oleh pengasuh dan pembantu rumah. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani secepat mungkin. Persoalannya, apakah punca yang menunjangi masalah sosial ini dan apakah cara mengatasinya? Saya akan rangkaikan satu per satu.

Masalah institusi keluarga merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan rapuh antara suami dan isteri akibat campur tangan pihak ketiga. Maka, pergaduhan antara suami dengan isteri akan berlaku dan seterusnya penceraian.  Senario ini menyebabkan produktiviti ibu bapa di tempat kerja merosot dan seterusnya tekanan oleh majikan pun meningkat. Ditambahkan pula dalam perjalanan pulang ke rumah, masalah kesesakan jalan raya akan meningkatkan ketegangan emosi dan stres ibu bapa. Ibu bapa yang tidak berfikir matang mampu melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek. Sudah terang lagi bersuluh, tekanan emosi ibu bapa dalam institusi keluarga yang tidak terkawal akan mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa penderaan. 

Selain itu, kesempitan hidup juga menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak. Masalah kewangan dan kos hidup yang tinggi menyebabkan ibu bapa terpaksa membanting tulang di dunia luar. Situasi ini mendorong ibu bapa untuk menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah yang tertentu pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberikan upah seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak berperikemanusiaan akan mendera kanak-kanak dengan tali pinggang, mencucuk mereka dengan puntung rokok ataupun membiarkan mereka dalam keadaan kelaparan. Yang menggemparkan lagi, terdapat segelintir pengasuh yang melakukan keganasan seksual terhadap kanak-kanak itu. Apabila anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh anak mereka lebam dan lemah dan seterusnya melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Namun demikian, terdapat sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan dengan saudara mereka. Jelaslah bahawa masalah kewangan semasa membesarkan anak akan mengakibatkan kes penderaan kanak-kanak berlaku.

Di samping itu, kekurangan didikan agama dalam kalangan ibu bapa merupakan faktor lain kejadian penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin keutuhan dan perpaduan sesebuah institusi keluarga. Agama juga memberikan panduan terbaik dalam menguruskan keluarga. Namun demikian, terdapat ibu bapa yang tidak mempraktikkan ajaran agama mereka dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Kedangkalan ilmu agama akan menyebabkan sesebuah keluarga dipandu dengan cara yang kontra dengan didikan agama kerana bak kata pepatah, bengkok batang bengkoklah bayangnya. Hal ini menyebabkan ibu bapa bersikap bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Kajian menunjukkan bahawa pendera kanak-kanak ramai yang merupakan pasangan muda. Hal ini disebabkan pasangan muda masih berkelakuan seperti remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Tambahan pula, orang muda sering berdarah panas dan mudah naik angin dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan anak-anak. Penghayatan ajaran agama yang tidak mantap akan menyebabkan pasangan muda tidak mampu berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata serta mencurahkan kasih sayang penuh terhadap anak-anak mereka. 

Untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan perlu diimplimentasikan dengan rancak. Melalui pendidikan ini, ibu bapa akan didedahkan kepada cara betul untuk mendidik anak-anak dan melayan pasangan mereka dengan baik. Mereka perlu diberikan kesedaran bahawa penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan undang-undang. Melalui kempen "Keluarga Bahagia", ibu bapa akan dididik tentang tanggungjawab mereka dalam membina institusi keluarga yang bahagia dan sejahtera. Mereka perlu berusaha untuk memajukan cara-cara menjaga dan mendidik anak serta menyayangi mereka bak menatang minyak yang penuh. Pendidikan ini perlu diberikan tekanan dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Terbuktilah bahawa ibu bapa perlu kerap dididik tentang cara-cara untuk hidup berkeluarga bagi mengurangkan masalah penderaan kanak-kanak. 

Selain itu, peranan masyarakat amat signifikan dalam usaha membendung masalah penderaan kanak-kanak daripada terus menular. Masyarakat haruslah membuang sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan usahlah mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, masyarakat patutlah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka. Jika mendapati bahawa terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, kita haruslah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat mungkin. Lagipun, pengawalan keselamatan di kawasan kediaman penduduk seharusnya diperketat untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang berani mendera kanak-kanak sesuka hati. Dalam konteks ini, masyarakat haruslah menyemai sikap jaga tepi kain orang dan melakukan rondaan bergilir untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras kes penderaan kanak-kanak kerana terdapat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. 

Seperkara lagi, langkah lain untuk mengurangkan bilangan kes penderaan kanak-kanak ialah penguatkuasaan undang-undang. Parlimen mestilah menggubal rang undang-undang bagi mencegah perbuatan mendera kanak-kanak kerana bak kata pepatah harimau ditakuti disebabkan giginya. Mereka yang bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman berat. Anggota masyarakat sepatutnya berani tampil ke muka pengadilan untuk menjadi saksi. Pesalah-pesalah ini perlu dianggap sebagai penjenayah dan dihukum rotan atau dipenjara. Hukuman ini bertujuan untuk memberikan pengajaran dan kesedaran kepada pesalah serta amaran kepada pasangan lain supaya tidak mendera anak-anak mereka. Sesi bimbingan dan kaunseling juga patut diberikan untuk menyedarkan pasangan bersalah tentang tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Usaha ini perlu diimplimentasikan berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jelaslah bahawa pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menangani masalah penderaan kanak-kanak.

Tuntasnya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama dan sisi undang. Semua pihak perlulah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk membanteras gejala ini dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi. Jika setiap pihak memainkan peranan masing-masing, pastilah kes penderaan kanak-kanak akan ditangani kerana bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Maka, masyarakat kita tidak lagi dibelenggu oleh isu ini dan dapat hidup dengan sejahtera. Akhir kata, kanak-kanak merupakan aset negara yang akan meneruskan pembangunan negara dan mengharumkan nama negara di pentas dunia serta mencapai Wawasan 2020, iaitu visi mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad. 





Anda mungkin meminati juga:







Wednesday 21 October 2015

Kamu telah membaca sebuah novel yang menarik hati kamu dan terdapat beberapa nilai murni yang terkandung dalam novel ini. Huraikan nilai murni itu.



Belakangan ini, saya baru sahaja selesai membaca sebuah novel yang menarik hati saya. Novel itu bertajuk "Harry Potter" dan di dalam novel tersebut tersirat beberapa nilai murni yang menjadi pedoman kepada saya semasa menempuh belantara kehidupan. Nilai-nilai murni tersebut juga menjadi iktibar untuk saya agar selalu mempraktikkan amalan baik sewaktu menghadapi pancaroba dan dugaan di dunia luar. Jelaslah bahawa buku jambatan ilmu dan ilmu merupakan pelita hidup.

Salah satu nilai murni yang tersirat dalam novel "Harry Potter" ialah nilai rendah hati. Harry merupakan seorang anak yatim yang mempunyai kuasa ajaib kerana mempunyai darah ahli sihir. Dia terpaksa hidup di bawah jagaan saudara-maranya yang berperangai buruk terhadapnya. Meskipun Harry sedar bahawa dia mempunyai kuasa ajaib dan terkenal di dunia ahli sihir, namun dia tetap rendah hati dan melayan setiap orang di sekelilingnya dengan akhlak yang mulia. Sebab itulah, Harry disanjungi oleh kawan-kawannya kerana mempunyai sikap mahmudah dan senang didampingi. Seseorang yang rendah hati tidak mudah sombong seperti kaduk naik junjung. Sebaliknya, insan itu akan rajin memajukan diri tanpa titik noktahnya dan pastilah akan menjadi sumber rujukan ramai. Terbuktilah bahawa nilai rendah hati dapat membentuk sahsiah positif dalam seseorang.

Selain itu, nilai menghargai masa juga terkandung di dalam novel ini. Semasa di sekolah khas yang bernama Horgwarts, Harry memanfaatkan masanya dengan menimba ilmu sihir yang banyak. Dia amat menghargai masanya dan ingin menelaah pelbagai ilmu yang tinggi dan ektensif. Kita sebenarnya haruslah menyemai nilai menghargai masa dalam sanubari kita kerana bak kata pepatah, masa itu emas. Untuk memastikan tiada sedetik masa pun yang dibazirkan, kita perlu membuat jadual waktu dan mengisinya dengan aktiviti faedah. Maka, kita dapat mengelakkan diri daripada membazirkan masa dengan gejala negatif seperti gengsterisme, vandalisme dan sebagainya. Lantas, kita akan membesar menjadi individu yang berfikir secara matang dan mempunyai masa hadapan yang berhala tuju. Samuel Johnson pernah mengungkapkan "Masa hadapan dibeli oleh masa sekarang." Jelaslah bahawa nilai menghargai masa dapat menjamin kegemilangan masa hadapan kita.

Seterusnya, nilai murni yang telah saya singkap dari tirai buku ini ialah nilai kegigihan. Nilai ini ditonjolkan oleh Harry yang bertekad untuk menguasai ilmu sihir dan menewaskan musuhnya, iaitu Voldemort. Walaupun terpaksa menempuh banyak cabaran dan pancaroba sepanjang perjalanannya, Harry tidak pernah berputus asa dan tetap berusaha untuk menggapai menara impiannya. Dalam konteks ini, kita wajarlah meneladani nilai kegigihan yang terpahat pada jiwa Harry kerana semangat kental akan membolehkan angan-angan kita menjadi realiti. Cecil B. DeMile pernah mengungkapkan "Orang yang berjaya dalam hidup merupakan orang yang mengenal pasti menara impiannya dan menjurus ke arah impian tersebut tanpa menyimpang." Terbuktilah bahawa nilai kegigihan amat signifikan dalam usaha mencapai aspirasi kita dalam kehidupan.

Seperkara lagi, nilai perpaduan juga tersirat dalam novel ini. Di hujung buku ini, Harry dan kawan-kawannya seperti Hermione, Ron dan lain-lain menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk melawan Voldemort dan askarnya. Harry berjaya menjalinkan hubungan yang erat dengan ahli pasukannya dan memenangi keyakinan dan kepercayaan mereka. Mereka bekerjasama dan berganding bahu untuk mempertahankan sekolah Horgwarts daripada ancaman musuh. Saya amat terharu dengan perpaduan yang ditonjolkan oleh Harry dan pasukannya semasa menentang anasir luar . Kita semua seharusnya menerapkan elemen perpaduan dalam masyarakat kita dan menjalinkan tali ukhuwah antara kaum tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dalam konteks ini, masyarakat yang berminda kelas pertama dapat dibina dan pencetusan perselisihan faham tidak akan berlaku. Lantas, negara kita akan membangun dengan pesat kerana mempunyai rakyat yang mementingkan perpaduan kaum seperti kata pepatah bersatu teguh, bercerai roboh. Jelaslah bahawa nilai perpaduan kaum merupakan elemen penting dalam menentukan kejayaan sebuah pasukan, organisasi dan negara.

Tuntasnya, novel "Harry Potter" ini telah menerapkan nilai murni yang banyak ke dalam jiwa saya dan mengajar saya untuk membezakan yang mana intan, yang mana permata dalam hidup. Saya juga belajar untuk melahirkan akhlak mulia dan sentiasa melakukan perkara yang baik kerana bak kata pepatah, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Novel ini juga telah memupuk minat dalam saya untuk mengamalkan hobi membaca pada waktu senggang. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Tuntutlah ilmu sehingga negara China." Maka, saya berhasrat untuk membaca novel yang berkualiti untuk menambah kosa kata dan ilmu pengetahuan. Saya berharap untuk membesar menjadi individu yang berilmiah dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.


Anda mungkin meminati juga:


Thursday 2 July 2015

Langkah memajukan industri pelancongan negara

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. "Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan pragmatik untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang bermain-main di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita? 

            Uslub yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Produk pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati sesuatu yang baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu yang baharu dan mereka tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada. Benarlah kata orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

          Selain itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh, karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Secara implisitnya, bilangan pelancong ke negara kita akan semakin meningkat. Tegasnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

            Meninjau skop yang lebih luas lagi, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini untuk menjadi tarikan kepada para pengunjung. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa seperti ini memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggidengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan meningkat. Mereka bukan sahaja datang untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja.  Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

            Seperkara lagi, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Hal ini sekali gus akan mendorong para pelancong untuk melancong dan berehat di sini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.. 

            Uslub dan minhaj yang lain ialah menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Mereka ingin menjadikan percutian di Malaysia sebagai serampang dua mata. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara supaya para pelancong berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan janganlah indah khabar dari rupa. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan pengurangan cukai belian barangan dapat merancakkan industri pelancongan negara .

            Jika ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia. Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri pelancongan negara.

                Akhir kalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa  terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pundak pihak berkuasa semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata.Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah mentari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat manusia di seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan bersama.

dipetik dari cikgu anelyza spm kerana terlalu bagus (Thumbs up emoji)

Student KoolAid


Anda mungkin meminati juga:



Wednesday 3 June 2015

Penggunaan Pengangkutan Awam

Pada era pascakemerdekaan ini, rakyat Malaysia mula hidup dalam kecanggihan infrastruktur. Pembangunan pesat dalam aspek pengangkutan selari dalam usaha merealisasikan cabaran visi Wawasan 2020. Namun demikian, terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengambil endah untuk memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada.

Masyarakat madani negara kita perlu mengikis sikap mereka seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita perlu menggunakan kemudahan pengangkutan awam sebaik-baiknya. Persoalannya, apakah prakarsa pragmatik yang mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam?

Agensi pengangkutan awam perlu menawarkan pakej pengangkutan dengan kos berpatutan supaya rakyat lebih berminat untuk menikmati menggunakan pengangkutan mereka seperti bas awam dan teksi. Agensi pengangkutan awam juga boleh berganding bahu bersama-sama agensi perlancongan. Oleh hal yang demikian, melalui penawaran harga berpatutan daripada agensi pengangkutan dan perlancongan, kedua-dua agensi ini menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan meningkatkan ekonomi negara.

Media massa merupakan wahana yang paling efektif untuk menarik perhatian masyarakat terhadap sesuatu perkara. Media massa tidak kiralah elektronik mahupun cetak boleh menguar-uarkan kempen kesedaran penggunaan pengangkutan awam kepada rakyat dengan efesien. Pihak kerajaan dan pihak berkuasa juga boleh menjayakan lagi kempen ini dengan menganjurkan majlis "turun padang" bersama-sama rakyat supaya kesedaran dapat disemai dalam kalbu masyarakat. Hal ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama-sama pihak kerajaan bersetuju untuk menjalankan projek pembinaan "MRT" supaya negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, apabila sistem pengangkutan negara kita dibandingkan dengan kemajuan pesat sistem pengangkutan awam seperti di Hong Kong dan Singapura.

Di negara-negara lain, penggunaan pengangkutan awam menjadi keperluan kerana kecekapan sistem tersebut yang lebih baik dan murah serta dapat sampai ke destinasi dalam masa yang singkat tanpa kesesakan lalu lintas. Jelaslah, hal ini menarik minat masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam yang sedia ada seperti kereta api aliran ringan (LRT) yang laju, murah dan menjimatkan masa.

Selain itu, pihak pengurusan juga haruslah meningkatkan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam seperti perhentian bas, tempat duduk dalam kenderaan, dan gerabak asing untuk penumpang wanita. Kebersihan dan kemudahan tersebut dapat menjamin suasana kondusif untuk para pengguna. Di samping itu, pihak pengurusan juga harus melantik pemandu pengangkutan yang bertanggungjawab dan berhemat selain mengemaskinikan dan memantapkan jadual bertugas. Oleh itu, ramai orang akan cenderung untuk menggunakan pengangkutan awam.

Tuntasnya, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding usaha agar orang ramai memanfaatkan pengangkutan awam dan mengubah persepsi buruk terhadap pengangkutan. Bak kata pepatah "hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih". Jika semua lapisan masyarakat dapat menggunakan pengangkutan awam sebaik-baikny, kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menjimatkan wang yang banyak. Maka, negara kita dapat terus maju dan berkembang menjadi negara yang pesat seperti Hong Kong, Jepun dan lain-lain.


xx




Anda mungkin meminati juga: